04 November 2011

Bedak padat (compact powder) punca jerawat?






JERAWAT merupakan masalah yang sering dilalui oleh remaja, perempuan mahupun lelaki. Jerawat pada kulit muka boleh menyebabkan seseorang itu rasa rendah diri kerana ia mengganggu penampilan diri.
Namun begitu, jerawat boleh diubati. Sekiranya anda menghadapi masalah jerawat, penjagaan kulit muka harus diutamakan kerana jerawat akan meninggalkan parut berlubang dan kesan hitam yang lebih sukar dirawat.

Sebab-sebab terjadinya jerawat

1. Faktor yang menyebabkan jerawat terjadi berpunca daripada proses pembaharuan sel kulit berlebihan oleh sel keratinosit yang melitupi liang pori-pori dan mengakibatkan liang tersebut tersumbat yang dikenali sebagai "microcomedo".
2. Apabila mencapai umur remaja, hormon androgen yang tinggi akan mengaktifkan pengeluaran sebum iaitu minyak.
3. Akibatnya, kolonisasi bakteria Propionibacterium acnes bertambah kerana keadaan sangat sesuai untuk pembiakannya.
4. P. acnes akan menyebabkan radang dan penghasilan sel keratinosit yang berlebihan.

Cara merawat jerawat

1. Penggunaan produk penjagaan muka yang tidak sesuai akan memburukkan keadaan. Gunalah produk penjagaan muka sedikit berasid yang mengandungi PHA (Poly Hydroxy Acid) atau Lactobionic Asid dari Neostrata menyebabkan eksfoliasi minimum dan tidak merengsakan kulit. Triclosan di dalam pencuci muka ini dapat membunuh bakteria pada muka. Selepas mencuci muka, perlulah menggunakan pelembap. Walaupun kulit muka berminyak, penggunaan pelembap pada muka masih diperlukan untuk mengawal pengeluaran sebum supaya muka tidak berminyak.

2. Penggunaan antibiotik pada permukaan muka juga dapat membantu membunuh bakteria yang ada pada kulit. Sekiranya jerawat tidak banyak, memadai dengan antibiotik sapuan sahaja. Sekiranya perlu, doktor akan menasihatkan supaya pesakit mengambil antibiotik dalam bentuk pil untuk ditelan dan perlu diteruskan untuk sekurang-kurangnya enam minggu seperti minocycline, tetracycline, doxycycline. Penggunaan krim tretinon atau retinol pada waktu malam juga dapat merawat jerawat. Jerawat yang tidak terkawal boleh dirawat dengan Ro-Accutane tetapi boleh menyebabkan kesan sampingan dan memerlukan pemantauan pakar kulit.

3. Rawatan "peel" dengan glikolik asid, salicylic asid atau Jessner's mampu merawat jerawat yang aktif. Rawatan ini dapat membunuh bakteria pada muka, mengurangkan pengeluaran sebum, membersihkan liang pori-pori dan melakukan exfoliation. Bagi salicylic asid dan jessner's peel, kulit akan merasa panas sedikit semasa rawatan, jerawat akan kering dan kulit mengelupas sedikit beberapa hari selepas rawatan dilakukan. Sapu pelembap kulit supaya kulit cepat sembuh. Rawatan peel boleh dilakukan sebulan sekali sehingga masalah jerawat dapat dikawal. Rawatan peel selamat jika dilakukan atas nasihat doktor.

4. Pastikan kesemua produk penjagaan muka tidak menyebabkan muka berminyak. Gunalah krim penghalang matahari yang berasaskan gel supaya muka tidak berminyak atau makan pil penghalang matahari seperti heliocare oral (dari sejenis paku pakis polypodeum leucotomus) untuk mengelak parut kehitaman akibat radang dari jerawat.



5. Elak mengguna bedak padat kerana span yang lembap, digunakan berkali-kali, terperap di dalam bekas menggalakkan pembiakan bakteria. Gunalah bedak berasaskan mineral seratus peratus tanpa sebarang campuran bendasing yang mempunyai sifat anti-inflammatori, tidak menutupi liang pori-pori kerana molekulnya besar dan bedak yang kering tidak menggalakkan pembiakan bakteria seperti Kiss mineral mekap.

6 Selain itu, makanlah lebih sayur-sayuran dan buah-buahan untuk zat dan vitamin pada kulit muka. Perbanyakkan minum air kosong, ambil probiotik untuk mengimbangkan bakteria dalam badan.

7. Sesetengah kaedah perancangan keluarga boleh menyebabkan hormon tidak stabil dan masalah jerawat. Pil perancang kehamilan Diane-35 boleh diambil untuk mengawal jerawat ataupun boleh merancang keluarga dengan alat cegah kehamilan IUCD Cu250, yang tidak berasaskan hormon.

8 Jangan sesekali memicit atau menekan jerawat, ini akan menyebabkan bakteria tersebar dan kulit luka akan meninggalkan parut hitam dan berlubang.

Pada peringkat awal rawatan, jerawat mungkin akan bertambah dahulu sebelum ia berkurangan. Ini merupakan perkara biasa, janganlah cemas, lakukan penjagaan muka dengan tekun dan ikutilah nasihat doktor. Jangan hentikan pengambilan antibiotik sesuka hati. Percayalah, setiap penyakit itu ada penawarnya.

Lamborghini Aventador dijual RM2.34 juta di India



DUA model berdiri dekat kereta sport Lamborghini Aventador LP 700-4 dalam majlis pelancaran penjualan di New Delhi, India semalam


NEW DELHI - Kereta sport mewah dari Itali, Lamborghini Aventador LP 700-4 dijual di India pada harga AS$745,590 (RM2.34 juta).
Majlis pelancaran penjualan itu diadakan di sini semalam. Seramai 20 pelanggan telah menempah kereta itu.
Kereta itu dilengkapi enjin 6.5 liter 12 silinder dengan 700 kuasa kuda dan boleh mencecah 0 hingga 100 kilometer sejam dalam tempoh 2.9 saat.

Bahagia Layari Perkahwinan : 5 Sikap Buruk Wajib Ditinggalkan





Setiap insan mengimpikan sebuah rumah tangga dan keluarga yang bahagia. Namun untuk mengecap kebahagiaan itu perlu ada usaha dilakukan. Tak terkecuali ia juga mungkin memerlukan pengorbanan.
Satu yang harus dikorbankan oleh pasangan suami isteri untuk meraih keharmonian rumah tangga adalah sikap buruk yang sudah sebati dengan diri. Kebiasaannya sikap buruk ini begitu sebati dengan diri lantas membuatkan ia sesuatu yang sukar untuk dikikis. Tapi jangan putus asa berusahalah menghapus segala keburukan itu untuk kebahagiaan berkekalan.

1. Cemburu Yang Berlebihan
Sewaktu suami sedang berbual dengan teman lamanya (wanita) di laman web sosial sebaiknya isteri perlu bersikap tenang dan positif. Selagi berada di landasan yang betul, hal tersebut adalah satu tindakan yang tidak perlu diperbesarkan. Perasaan cemburu tidak bertempat hanya membuatkan rumah tangga panas dan banyak kongkongan. Tidak dinafikan, cemburu memang perlu tetapi biarlah berpada kerana itulah tanda cinta. Tetapi jika berlebihan, mengundang padah yang merosakkan.

2. Membuka Aib Pasangan
Setiap insan punyai kelebihan dan kekurangan. Lantaran itulah kita perlu menghormatinya dengan tidak menjajanya kepada sesiapa. Lebih-lebih lagi rahsia keluarga atau kitalah orang kepercayaannya. Dalam ikatan rumah tangga, baik isteri mahupun suami kelemahan diri perlu ditutup sebaik mungkin. Terimalah pasangan anda seadanya kerana keikhlasan yang terbit dari hati mencetus bahagia sampai bila-bila.

Meskipun pasangan bertukar-ganti, belum tentu dia lebih baik dari sebelumnya. Bersyukurlah dengan apa yang ada dan belajarlah untuk redha. Simpan sebaiknya aib, kekurangan atau masalah pasangan dari diketahui umum. Nescaya, pulangan yang diterima berkali-kali ganda.

3. Dikuasai Perasaan Hasad Dengki
Setiap penyakit ada penawarnya kecuali mati. Tetapi bila diserang PHD (penyakit hasad dengki) tiada klinik mampu berikan ubat yang terbaik. Buatlah apa jenis pembedahan, suntiklah apa jua vaksin tetapi jika tiada keinginan mengubah dari hati, sudah pasti jalan kegagalan sedia menanti.

Sebagai pasangan suami isteri, perasaan dengki, suka menunjuk dan iri hati perlu dihapuskan serta merta. Jangan nanti bila melihat jiran sebelah menukar perabot baru maka kita pun ingin melakukan perkara yang sama biarpun kemampuannya paras-paras hidung sahaja. Mangsanya, suami ''melengkung'' melangsaikan hutang demi memenuhi kehendak isteri tersayang.

Seharusnya bersyukurlah sentiasa dan cukuplah dengan apa yang ada. Usah merenung kelebihan orang lain hingga menangisi nasib sendiri. Berubahlah ke arah yang lebih positif bagi membentuk sebuah keluarga yang bahagia.

4. Keinginan Melakukan Kemungkaran
Tabiat buruk seperti berjudi, minum arak, seks bebas dan sebagainya adalah tindakan-tindakan yang mendorong ke arah kehancuran. Jangan sesekali terjebak dalam aktiviti sebegini yang hanya akan menjunamkan diri ke lembah hina. Tapi sebagai manusia pasti tidak terlepas dari melakukan kesilapan, jika terlanjur melakukannya segeralah bertaubat.

Tinggalkan segera sebelum ditimpa pembalasanNya. ''Cuci tangan'' sebelum masalah berpanjangan. Ingatlah bahawa Allah sangat membenci hamba-hambaNya yang melakukan kemungkaran. Di dunia lagi Tuhan telah tunjukkan balasan seperti perpecahan keluarga, kemerosotan ekonomi dan macam-macam lagi. Bukan pada diri sendiri malah pasangan, keluarga serta masyarakat turut merasa tempiasnya. Jagalah kehormatan diri dan keluarga selain berdoa pada Yang Maha Kuasa agar sentiasa terpelihara.

5. Sensitif Dan Cepat Emosi
Hidup berumah tangga, suami atau isteri perlu menjalin kasih sayang dengan baik. Jangan kerana hal-hal yang kecil membuatkan masing-masing bermasam muka hingga berhari-hari lamanya. Kalau boleh, jangan bangkitkan kemarahannya dengan bercerita kenangan lama dengan bekas kekasih atau meluahkan tentang keburukan dan kekurangan diri serta keluarganya.

Sedarlah bahawa memuji lelaki atau wanita lain di hadapan pasangan juga boleh membuatkan si dia berkecil hati. Begitu juga sekiranya tidak peka dengan kegemaran atau kesukaannya. Hal-hal yang disebutkan tadi adalah sebahagian dari perkara yang boleh membuatkan si dia menjauh diri sekali gus menimbulkan kemarahan.

Ingatlah, walau siapa pun pasangan anda, usah sekali-sekali meremehkan atau merendahkan kebolehan dirinya. Kerana itulah, sebelum memutuskan untuk mengikat janji setia membina mahligai bahagia maka selidikilah dirinya sedalam-dalamnya. Jangan sampai menyesal di kemudian hari sampai melakukan dosa yang ada kalanya tidak disedari.

sumber;mingguanwanita