Ramai isteri mengadu suami mereka tidak mahu mendengar cakap mereka. Akibatnya hubungan mereka selalu tegang dan mereka tidak puas. Kata seorang isteri, ‘’bercakap dengan tunggul lebih baik!’’ Ramai isteri yakin cara mempengaruhi suami ialah dengan cara bercakap kepada suami mereka.
Apa yang salah dengan isteri sehingga sering diabaikan oleh suami ketika bercakap. Sebelum berkahwin bukan main lagi semangatnya, kalau pasangan bercerita. Apabila berkahwin, suami endah tak endah mendengar isteri bercakap padahal semua topik menarik untuk dibahaskan, daripada masalah keluarga sehinggalah masalah negara.
Apa yang berlaku adalah, setelah berkahwin bertahun-tahun, ramai suami mahupun isteri berasa ada yang hilang iaitu keinginan untuk bercerita dan mendengar seakan surut begitu sahaja.
Apabila seseorang suami itu pandai mendengar, lebih mudah baginya mempengaruhi sikap dan tingkah-laku si isteri. Kajian mendapati orang yang didengar akan menghormati orang yang suka mendengarnya bercakap. Didorong oleh rasa hormat, mereka tidak bersikap defensif, oleh itu mereka mudah menerima pandangan dan idea-idea orang yang dihormatinya.
Kebanyakan pasangan suami isteri mulai merasakan hubungan komunikasi lama kelamaan terasa hambar dan membosankan. Sedangkan berbual-bual mesra sangat penting sekali bagi mengekalkan keharmonian dalam sesebuah keluarga. Komunikasi, cakap-cakap, berkongsi cerita apa saja mestilah diamalkan sampai bila-bila.
Pendapat saya, kalau isteri ingin bercakap, jangan terlalu meleret-leret kerana kebanyakan suami tidak suka percakapan yang membuang-buang waktu dan mereka tidak sabar menanti akhir cerita isteri yang kedengaran agak berputar-putar. Otak lelaki lebih berorientasi pada pemecahan masalah dan melihat segala sesuatu itu daripada skala besar dan menyeluruh.Agaknya sebab itulah Tuhan tidak beri manusia satu telinga dan dua mulut, tetapi Tuhan beri sebaliknya. Barangkali dengan pemberian itu manusia akan mengerti bahawa kita patut lebih banyak membuka telinga kita daripada membuka mulut kita.
Apabila kita pandai mendengar, kita akan pandai belajar. Isteri yang banyak mendengar suaminya, akan banyak belajar tentang hati dan jiwa suaminya. Sesiapa yang sibuk bercakap tidak belajar. Dalam konteks hubungan suami isteri, kita mendengar untuk belajar tentang diri pasangan kita. Jika seseorang suami mendengar isterinya bercakap, dia berpeluang belajar mengenali ‘siapa’ isterinya. Ramai suami yang sudah bertahun-tahun berkahwin masih berkata mereka tidak faham isterinya.
Apabila suami pandai mendengar isterinya bercakap, isterinya akan berasa dirinya diminati oleh suaminya. Akibatnya isteri akan lebih rajin bercakap-cakap, berbual-bual, berunding dan mengadu kepada suaminya. Begitulah sebaliknya. Dengan demikian, suami isteri akan menghargai hubungan mereka berdua. Inilah faktor yang menyebabkan kedua-dua pihak mendapat banyak rasa kepuasan dalam hubungan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan