21 Ogos 2011

Hindari Ketuat Kelamin


Alat kelamin anda ditumbuhi benjolan daging lembut yang bersifat lembap tetapi tidak menyakitkan? Biarpun ia tidak menimbulkan rasa sakit, anda harus berasa bimbang kerana ia mungkin petanda bahawa diri anda telah dijangkiti sejenis penyakit kelamin iaitu ketuat kelamin.

Turut dikenali sebagai genital warts, venereal warts atau condyloma acuminate, ketuat kelamin merupakan ketumbuhan pada kulit. Bersifat lembut, lembap dan tidak menyakitkan, ketuat kelamin berwarna keperang-perangan, merah jambu atau kelihatan seperti warna kulit.

Manakala bentuknya seakan kubis bunga iaitu berbiji-biji dan berlapis. Ia boleh terjadi secara sebiji-sebiji atau berkelompok yang diikuti dengan rasa gatal dan panas membakar di sekitar alat kelamin serta rasa tidak selesa, sakit atau pendarahan sewaktu seks.

Pada lelaki, ketuat kelamin akan tumbuh di atas zakar, lubang zakar, buah zakar dan kawasan dubur. Kutil juga boleh tumbuh di dalam tekak atau mulut sekiranya individu melakukan seks oral dengan penghidapnya. Malah, ia juga boleh ditemui di dalam hidung dan bola mata.

Hubungan seksual adalah punca utama terjadinya ketuat kelamin pada individu memandangkan penyakit ini hanya menjangkiti lelaki dan wanita yang aktif melakukan hubungan seksual pada semua peringkat usia, bangsa, agama atau kelas sosial di seluruh dunia.

Kutil kelamin amat mudah menjangkiti individu. Sentuhan langsung dari kulit ke kulit semasa melakukan hubungan seks menerusi faraj atau oral dengan individu penghidap kulit kelamin akan menyebarkan virus human papillomavirus, sejenis virus penyebab penyakit itu.

Individu tidak perlu mengadakan hubungan seks berulang-kali dengan pesakit kutil kelamin untuk mendapat penyakit itu, kerana walaupun hanya sekali melakukannya, anda sudah boleh dijangkiti. Ini kerana risiko untuk menghidap penyakit tersebut mencapai sehingga 60 peratus bagi setiap hubungan seks yang dilakukan. Selain itu, jangkitan juga boleh berlaku akibat perkongsian barangan penjagaan kulit, peralatan logam seperti nikel atau aluminium.

Kesan ketuat kelamin tidak dapat dilihat atau disedari dalam tempoh singkat kerana masa pengeramannya yang lama. Individu yang dijangkiti hanya akan melihat kesannya setelah berbulan-bulan bahkan bertahun- tahun selepas mengadakan hubungan seks dengan penyebar. Saiznya yang hanya sebesar satu hingga dua milimeter membuatkan ia sukar dikesan.

Mudah Merebak
Bahayanya, ketuat kelamin akan membiak dan bertambah jika tidak dirawat. Ia boleh merebak ke bahagian tubuh yang lain dan menularkannya kepada pasangan. Bahkan beberapa jenis virus ini mampu menyebabkan ketumbuhan sel tidak normal. Seterusnya bertukar menjadi kanser jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan. Antara kanser yang boleh terjadi akibat penularan virus ini ialah kanser prostat, kanser usus dan kanser dubur.

Cara paling efektif untuk mengelakkan diri daripada serangan ketuat kelamin adalah dengan menjauhi hubungan seks dengan individu yang telah menghidapi penyakit tersebut. Justeru, bersikap setialah pada pasangan dan elakkan hubungan seks secara rambang atau bertukar-tukar pasangan bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti.

Satu lagi kaedah yang boleh dilakukan untuk mencegah penyakit ini adalah menerusi penggunaan kondom yang betul dan menutupi bahagian yang terkena jangkitan penyakit ketuat kelamin. Namun begitu, kondom tidak dapat menutupi seluruh kulit yang telah dijangkiti kulit kelamin sehingga membuatkan risiko untuk mendapat penyakit ini masih ada biarpun ia berada di paras rendah.
Jika anda menyedari kehadiran ketuat kelamin di bahagian alat kelamin, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Doktor boleh mengesahkan kehadiran ketuat kelamin menerusi pemeriksaan fizikal sahaja.

Hanya doktor yang mampu merawatnya dan jangan bertindak bijak untuk merawat sendiri kutil kelamin yang anda hidapi. Ini kerana walaupun ketuat mampu dihilangkan tetapi virus akan kekal di dalam badan dan tidak boleh dirawat sehingga berlaku berulang kali setelah dibuang.

Rawatan bergantung pada jenis Rawatan penyakit ini adalah tidak selesa dan ada kalanya menyakitkan. Ia juga tidak selalu berkesan, boleh gagal sehingga masalah berulang semula. Rawatan bergantung pada jenis, kedudukan dan bilangan ketuat.

Lazimnya ketuat yang lembut dan belum diselaputi keratin boleh dirawat dengan ubat sapu. Rawatan boleh dilakukan oleh pesakit di rumah dengan jangka masa rawatan di antara satu hingga empat bulan.

Manakala ketuat keras yang diselaputi keratin perlu dibuang menerusi pembedahan kecil atau memusnahkannya melalui kaedah krioterapi atau elektrokauteri. Krioterapi adalah penggunaan kesejukan dalam rawatan penyakit sedangkan elektrokauteri merujuk kepada pembinaan tisu berpenyakit melalui jarum yang dipanaskan secara eletkrik.

Selain itu, rawatan laser juga boleh dijalani. Pembuangan sel ketuat juga boleh dilakukan dengan pantas dan mudah kerana laser yang dijana dengan karbon dioksida mampu bertindak secara khusus dan tepat ke atas ketuat.

SUMBER:mingguanwanita

2 ulasan:

Unknown berkata...

mohon share untuk tugasan saya

Tanpa Nama berkata...

MOHON SHARE