30 Julai 2011

Annahita kini isteri Setiausaha Sulit Kanan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani


Berita perkahwinan bekas Dewi Remaja 2002/2003, Annahita Bakavoli, 28 tahun, nyata mengejutkan ramai. Tanpa sebarang gosip atau cerita-cerita cinta, model serta pelakon jelita ini mengambil keputusan menamatkan zaman bujangnya bersama Datuk Saiful Baha Datuk Mohd Arshad, 44 tahun, pada 11 Julai lalu.

Majlis akad nikah itu berlangsung selepas solat Asar di Masjid Sultan Salahuddin Shah Alam. Dalam majlis tersebut Annahita menerima mas kahwin RM 2 ribu dan wang hantaran RM21.212.21.Dia yang sah bergelar isteri kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani melahirkan rasa bersyukur dan tetap meneruskan karier seni setelah mendapat keizinan daripada suaminya.

“Saya masih seperti dahulu biarpun kini menggalas status isteri kepada. Banyak perkara yang perlu saya pelajari tetapi hakikatnya kehidupan masih seperti dahulu. Lagipun suami sudah beri lampu hijau untuk saya teruskan kerjaya seni.

“Malah sekarang rasanya lebih lengkap kerana adanya suami yang sangat memahami. Dia banyak beri sokongan dan nasihat dalam setiap kerja yang dilakukan. Syukur Alhamdulillah kerana Allah temukan kami kerana selain suami, dialah juga sahabat sejati yang sentiasa di sisi dalam apa jua situasi,” terang Annahita yang kini bergelar Datin.


Konsep perkahwinan dalam taman yang dibawa khas ke dalam dewan nyata memberi satu kelainan. Bunga-bungaan segar serta kerlipan bola kristal nyata begitu indah sekali. Sememang nya inilah impian majlis perkahwinan Anna dan dengan rasa penuh kasih, ia direalisasi oleh suami tercinta.

“Majlis yang berlangsung malam ini meninggalkan kenangan indah dalam hidup kami berdua. Mana tidaknya, sebelum tiba ke sini kami terpaksa. Buat ‘last minute shopping’ di The Curve sebab tertinggal rantai leher. Nasib baik hotel tempat kami bersiap tidak jauh dari situ. Kelakarnya, kami pergi cari rantai tu dengan berpakaian pengantin, macam filem ‘ Runaway Bride’.

Tak sempat nak pilih sangat, saya terus ambil apa yang ada sebab dah lambat. Suami yang berdiri di sebelah senyum sahaja sebab lihat keadaan saya yang kelam kabut,” jelasnya sambil tergelak.


Terbang ke Singapura untuk makan tengah hari
Sekalipun penat namun kedua mempelai kelihatan ceria dan ramah melayan tetamu. Sikap Datuk Saiful yang gemar berjenaka nyata menyeri suasana. Bukan setakat isteri malah hadirin yang menyaksikan turut gembira melihat telatahnya.


Mencungkil cerita detik perkenalan merpati dua sejoli ini, ujar Datuk Saiful mereka mula mengenali antara satu sama lain sejak bulan Januari yang lalu. Dari situ, bibit cinta mulai hadir dan kemudiannya berakhir di jinjang pelamin.

“Waktu itu kami hanya kawan biasa. Bila hubungan Makin rapat baru saya sedar dalam hati ada cinta. Melihat Anna, saya rasa ada keistimewaan dalam dirinya. Walaupun mempunyai pakej yang lengkap dari segi kecantikan, pelajaran dan budi bahasa namun dia tetap merendah diri dan hormat pada semua orang. Itu yang membuat saya tertarik untuk memperisterikan dirinya,” terangnya sambil memandang manja ke wajah isteri tercinta.

“Saya pun begitu juga. Bagi saya dia adalah seorang yang romantik, bijak, penyayang, kelakar dan bertanggungjawab. Bilamana ada masalah atau keliru untuk melakukan sesuatu, dialah tempat saya merujuk selain ibu dan ayah,” balas Anna yang sempat menceritakan peristiwa romantic yang dilakukan oleh suaminya beberapa bulan lepas.

“Dia membawa saya ke Singapura gara-gara saya mengajaknya makan piza. Dia kata kalau nak makan pizza kena pergi ke Itali, jadi saya pun senyum sahajalah. Tak sangka keesokan harinya dia terus tempah tiket penerbangan ke Singapura dan bawa saya makan tengah hari di sebuah restoran.

“Lepas itu, saya dibawa berjalan-jalan sekitar Singapura dan ambil penerbangan malam itu juga ke Malaysia jam 12 malam. Bila diingat balik rasanya saat itu cukup romantik sekali gus membuatkan saya terharu dengan sikapnya,” kata Anna dengan suara yang terketar-ketar.


United Kingdom lokasi bulan madu

Pasangan yang berbulan madu ke United Kingdom ini dengan wajah yang gembira menyatakan bahawa mereka sudah bersedia untuk menimang cahaya mata, lebih-lebih lagi Anna. Ujarnya, sekiranya Allah memberi rezeki awal maka dia berbesar hati menerima kehadiran ‘orang baru’ dalam hidupnya.


“Saya tak ada masalah untuk bergelar ibu dalam masa terdekat memandangkan umur pun dah 28 tahun, jadi nak tunggu apa lagi. Suami pun tak kisah malah dia pun sukakan kanak-kanak.

Tentang pilihan lokasi berbulan madu pula, dialah yang beri cadangan. “Lagipun suatu masa dahulu saya pernah cerita kepadanya bahawa ibu dan ayah pernah berkenalan di United Kingdom jadi mungkin sebab itu dia teruja untuk bawa saya makan angin ke negara berkenaan, lagipun tempatnya cantik dan sesuai sangat untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga,” ujarnya panjang lebar.

Bicara Anna terhenti saat diminta menyuarakan harapannya tentang perkahwinan yang baru dibina. Jelasnya, apa yang diimpikan agar mahligai perkahwinan bersama suami kekal bahagia hingga ke akhir hayat sekali gus dianugerahkan zuriat yang soleh dan solehah.



Rumah nostalgia P. Ramlee


RUMAH P. Ramlee ini mengenang jasa dan pengorbanan P. Ramlee dalam dunia seni tempatan.
SIAPA yang tidak mengenali Tan Sri P. Ramlee? Biarpun sudah 38 tahun seniman agung itu pergi meninggalkan kita, namanya masih tetap terpahat di hati dan sanubari setiap masyarakat.
Sehingga kini, karyanya masih hidup dan tidak pernah ditelan zaman. Beberapa filemnya yang terus disiarkan di kaca televisyen seperti Nujum Pak Belalang, Bujang Lapok, Labu Labi masih mampu membuatkan peminat-peminatnya ketawa.
Begitu juga lagu-lagunya seperti Getaran Jiwa, Jangan Tinggal Daku dan Di Manakan Ku Cari Ganti yang masih kedengaran merdu.
P. Ramlee

P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh membina nama sebagai insan seni yang serba boleh. Dialah pelakon, dia juga penyanyi, pelawak, komposer serta pengarah filem.
Bermula dengan filem Chinta dan Laksamana Do Re Mi menutup tirai seninya, kehebatan beliau terus diakui malah mendapat pengiktirafan di pesta-pesta filem antarabangsa.
Tidak hairanlah, berita pemergiannya menghadap Ilahi pada 29 Mei 1973 begitu mengejutkan peminat-peminatnya. Pemergiannya diibaratkan satu kehilangan besar dalam industri hiburan negara dan terus dikenang sehingga kini.
Menghargai jasa
Justeru, tidak hairanlah pelbagai usaha dilakukan untuk mengenang jasa dan sumbangan P. Ramlee kepada warisan seni bangsa dan negara bagi tatapan generasi akan datang.

RUANG dapur yang serba sederhana ini menyuntik rasa rendah diri dan insaf dalam diri pengunjung.


Paling ketara adalah usaha pemuliharaan rumah kelahiran seniman agung itu yang terletak di Jalan P. Ramlee (dulu dikenali sebagai Counter Hall Road), Pulau Pinang.
Rumah itu pada asalnya dibina pada tahun 1926 oleh bapa beliau, Teuku Nyak Puteh Teuku Karim bersama bapa saudaranya, Rejab Hussain. Ia kemudian dibaik pulih oleh bapa saudaranya pada zaman pendudukan Jepun dan sekali lagi pada 1948.
Di rumah itulah P. Ramlee membesar dan mengharungi zaman kanak-kanak serta alam persekolahan sebelum beliau berhijrah ke Singapura dan Kuala Lumpur untuk mengorak langkah lebih jauh dalam bidang seni.
Menyedari nilai sejarah yang ada, Arkib Negara Malaysia telah mengambil alih dan menjadikan rumah itu sebagai muzium yang menjadi salah satu tarikan pengunjung di negeri Pulau Mutiara itu.
Bagi tujuan itu, pihak Arkib telah melakukan kerja baik pulih bermula pada tahun 1991. Bentuk asalnya masih dikekalkan termasuk perincian pelbagai ukiran kayu yang menghiasi setiap sudut rumah itu.
Pada 31 Disember 1991, ia telah dibuka dengan rasminya oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia ketika itu, Datuk Sabbaruddin Chik.
Tradisional
Seperti rumah-rumah tradisional Melayu di Pulau Pinang, Rumah P. Ramlee mempunyai beberapa bahagian utama seperti bilik, ruang tamu, serambi serta dapur.

BASIKAL tua di bawah rumah ini mengimbas semula banyak adegan filem-filem P. Ramlee.


Melangkah ke ruang dalamnya, pengunjung pasti terpesona melihat perjalanan kehidupan yang pernah dilalui legenda perfileman Melayu itu satu ketika dahulu. Pelbagai koleksi peribadi P. Ramlee bermula dari zaman remaja sehinggalah kejayaan yang dicapai dalam bidang seni dipamerkan di ruang tersebut.
Antara yang dipamerkan ialah poster-poster filem, buku muzik, poskad, serta pelbagai dokumen peribadi lain.
Ketika menjengah ke ruang biliknya pula, pengunjung dapat melihat beberapa barangan peninggalan beliau dan keluarganya. Antaranya adalah katil, peti besi menyimpan pakaian dan koleksi pakaian kegemaran.
Ruang dapur juga tidak terkecuali memiliki aura nostalgia. Ia mempamerkan peralatan memasak dan set-set alat hidangan yang pernah digunakan P. Ramlee sekeluarga.
Sementara itu, di bahagian bawah rumah pula pengunjung boleh melihat model basikal kegemaran beliau. Kawasan sekitarnya juga sengaja dihiasi dengan pelbagai landskap asal yang sinonim dengan kehidupan legenda itu satu ketika dahulu.
Ternyata, kunjungan ke Rumah P. Ramlee besar ertinya khususnya kepada peminat-peminat setia seniman agung itu.
Biarpun hari-hari terakhir kehidupan yang dilalui hakikatnya lebih banyak duka berbanding suka, namun P. Ramlee ibarat manusia yang matinya diberi ‘peluang kedua’ dengan kehidupannya dikenang orang sepanjang masa.
Memori P. Ramlee tidak akan mati sampai bila-bila kerana namanya akan tersemat di dalam ingatan masyarakat di negara ini.

28 Julai 2011

8 Pencetus Ghairah Suami

Tatkala suami seakan tidak bernafsu untuk melakukan hubungan seks, ramai isteri akan menuduh suami punya ‘cawangan lain’. Hanya sedikit yang memandang bahawa puncanya mungkin adalah dari diri sendiri. Tidak mustahil apa yang terjadi ini sebenarnya bukan kerana kehadiran orang ketiga tapi kerana anda lupa untuk menggilap aspek diri yang menjadi pencetus ghairah suami.


Kealpaan ini membuatkan lama kelamaan suami mula bosan dan tawar hati untuk mengadakan hubungan seks. Jadi sebelum ia berlaku pada diri anda maka perhatikan 8 pencetus ghairah seks suami yang pada diri anda dan gilaplah ia sebelum terlambat.

1. Tubuh Isteri
Tak semestinya anda gemuk, anda tiada tarikan. Perhatikan mana satu aset dari tubuh anda yang menonjol maka pamerkannya. Sebagai contoh anda mungkin punya kulit halus mulus jadi kenakan pakaian yang memaparkan sebahagian besar kulit anda. Boleh jadi anda punya payudara yang mantap maka pergunakanlah aset ini sebaiknya.

2. Pakaian Dalam Yang Seksi
Sesekali pakailah coli dan seluar dalam yang berenda dengan warna-warna lembut dari kain sutera yang lembut. Ketika kita teringat akan pakaian seksi yang dipakai, kita pasti akan turut berasa seksi. Oleh itu tayangkan sedikit pakaian dalam ini pada suami. Contohnya mengenakannya sewaktu suami berada di bilik. Secara tak langsung membuatkan suami teruja.

3. Tubuh Yang Wangi
Salah satu daya tarikan seks adalah aroma wangi dari tubuh sang isteri. Oleh itu, pastikan diri sentiasa wangi, segar dan bersih setiap masa. Jangan sesekali malas mandi. Bagi lebih menggoda, kenalilah bau-bauan yang boleh meningkatkan ghairah pasangan. Selain itu kenakan juga aroma yang disukai oleh pasangan anda.

4. Belaian Mesra
Lelaki sebenarnya sangat suka jika diri mereka dibelai. Belaian itu pada mereka adalah tanda sayang. Ketika suami sedang bersantai di kerusi, belailah rambutnya dengan lembut ataupun urut lembut bahunya. Kalau mahu reaksi yang lebih, usap bahagian-bahagian yang boleh menaikkan ghairahnya.

5. Bahasa Tubuh
Anda pasti pernah melihat wanita yang mempunyai lenggok tubuh yang menggoda hingga mampu menarik perhatian lelaki walaupun hakikatnya wajah dan penampilan mereka biasa saja. Inilah yang membuktikan bahawa daya tarikan seks itu bukan hanya pada mekap dan pakaian tapi juga lenggok atau bahasa tubuh. Bahasa tubuh yang baik akan membuatkan diri kelihatan menarik. Misalnya biasakan berjalan dengan tegap dan berkeyakinan.

6. Ketawa
Mungkin ramai yang tidak tahu wanita yang mempunyai humor yang tinggi dianggap seksi oleh lelaki? Waktu ketawa biasanya pipi kita akan berwarna kemerah-merahan dan nampak lebih menggoda. Oleh itu janganlah asyik bermasam muka. Buatlah lawak ketika bersama suami ataupun ketawalah ketika dia membuat lawak.

7. Penampilan Yang Berbeza
Rambut yang kusut masai, muka yang berminyak dan juga mulut yang berbau pastinya membuatkan suami langsung hilang selera. Kecantikan perlu dijaga dan dirawat. Jika kita biasa tampil tanpa mekap di hadapan suami, sekali sekala kejutkan dirinya. Tak perlu berdandan berlebihan, cukup sekadar mekap yang ringkas, asalkan kita nampak segar.

8. Bilik Yang Romantis
Penampilan saja tidak cukup untuk membuatkan diri berasa seksi. Suasana persekitaran juga penting. Oleh itu mulakanlah kemahiran anda untuk mengubah keadaan bilik tidur agar lebih dilihat romantis. Hias bilik dengan warna-warna yang sensual seperti merah jambu, merah hati dan sebagainya.

27 Julai 2011

Pintu-pintu yg di masuki syaitan dalam tubuh manusia



Dalam sebuah kitab yang ditulis oleh seorang ulama Syeikh Fathi Yakan menulis kitabnya yang terkenal iaitu Maza yakni intima’I lil Islam. Menyatakan bahawa pintu-pintu yang dimasuki syaitan dalam tubuh manusia ialah :

  1. Tamak dan jahat sangka, lantas aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan yang ada sesudah berusaha dan berikhtiar.
  2. Cintakan hidup dan panjang angan-angan, lalu aku menghadapinya dengan rasa takut dengan kedatangan mati yang tiba-tiba.
  3. Cintakan kerehatan dan nikmat, lalu aku menghadapinya dengan meyakini bahawa nikmat itu akan hilang dan meyakini balasan buruk.
  4. Kagum pada diri sendiri (ujub), lalu aku menghadapi dengan mensyukuri nikmat pemberian Allah dan takutkan balasan seksaan.
  5. Pandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lalu aku menghadapinya dengan cara mengetahui hak dan kehormatan mereka.
  6. Hasad dengki, lalu aku menghadapinya dengan sifat qanaah (iaitu berpuas hati dengan apa yang ada setelah berusaha dan berikhtiar) dan reda terhadap pemberian Allah kepada makhluknya.
  7. Riak dan sukakan pujian manusia, lalu aku menghadapinya dengan sifat ikhlas.
  8. Kedekut atau bakhil, lalu aku menghadapinya dengan meyakini bahawa apa yang di tangan makhluk itu akan binasa sedangkan apa yang ada di sisi Allah akan kekal.
  9. Takbur atau sombong, lalu aku menghadapinya dengan sifat tawaduk.
  10. Tamak, lalu aku menghadapinya dengan yakin terhadap balasan Allah dan tidak mengharapkan sesuatu yang ada pada manusia.

Sumber: Blog ustaznoramin.com  terima kasih ustaz...

Syarat serap guru sandaran

Kesemua 13,184 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) kini dinilai semula bagi tujuan untuk diserapkan ke jawatan tetap dengan syarat mereka memenuhi dua syarat utama yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.
Dua syarat tersebut ialah mereka telah berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun serta berusia tidak lebih 35 tahun pada 31 Disember 2010.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kepada yang layak, surat tawaran diserap sebagai guru akan dikeluarkan tidak lama lagi.
"Pengambilan tenaga pengajar GSTT sebagai guru itu sejajar dengan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam bulan lepas," katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Akhir Reka Cipta dan Inovasi Bot Lumba RA3 Peringkat Kebangsaan 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 9 (2) di sini semalam.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan tarikh calon-calon GSTT yang layak itu akan diserap untuk jawatan tetap.
"Kesemuanya bergantung kepada Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing yang telah diarah mengenal pasti kesemua GSTT yang terlibat untuk dipanggil semula," ujarnya.
Katanya, calon-calon yang berjaya akan mengikuti kursus di Institut Pendidikan Guru.
Beliau menambah, sejajar dengan pengambilan GSTT itu, tiada pengambilan baru untuk Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) akan dibuat tahun ini.
Terdahulu, beliau telah menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan akhir Reka Cipta dan Inovasi Bot Lumba RA3 Peringkat Kebangsaan 2010.
Pemenang tempat pertama bagi kategori bot lumba sekolah menengah dan sekolah rendah masing-masing dimenangi oleh SMK Seri Manjong, Perak dan Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Kandu, Penang.

Tampilkan Pesona Mata



Pepatah ada mengatakan, mata adalah jendela hati, justeru tidak hairanlah jika dalam dunia kecantikan, mata merupakan bahagian yang wajib dirias agar tampil lebih indah. Kaedahnya mudah bagi sesetengah mereka yang pandai melakukannya. Sayangnya, sukar bagi sesetengah yang tidak biasa menggunakan penggaris mata atau eyeliner.
ini merupakan beberapa petua dalam mengaplikasikan penggaris mata bagi menampakkan lagi kelopak mata selain memberi kesan mata yang cantik.

Penggaris Mata Jenis Pensel

Bagi anda yang masih baru dan belum biasa menggunakan eyeliner, sebaiknya pilih jenis ini. Eyeliner bentuk pensel mudah diaplikasikan dan merupakan pilihan tepat untuk digunakan sehari-hari. Agar mata tampil cantik, pastikan ketika menggunakan eyeliner pensel, biarkan hujungnya tajam untuk hasil yang lebih maksima.

Jangan lupa membeli pisau untuk memudahkan anda mendapatkan hujung pensel yang tajam. Jika hujungnya telah runcing, mulakan membuat garisan pada mata dengan cara menarik garis ke atas dan tepat di atas bulu mata dari sudut dalam hingga sudut luar mata dengan satu garis yang menyambung.

Penggaris Mata Jenis Cecair

Mengaplikasikan eyeliner jenis cecair memerlukan penelitian yang lebih namun tahan lama. Malah, ia sesuai digunakan dalam majlis-majlis. Biasanya, eyeliner ini didatangkan bersama berus kecil dengan hujung yang sangat baik untuk membuat garisan. Pun begitu, pastikan memotong sedikit berus tersebut terlebih dahulu jika panjang bagi memudahkan sapuan.

Sebagai permulaan, pastikan anda membuat garisan pada bahagian mata dengan menggunakan pensel mata biasa terlebih dahulu. Tujuannya untuk memudahkan anda mengaplikasikan eyeliner cair dengan rapi dan betul. Namun, pastikan sapuan tidak terlalu tebal kerana eyeliner jenis ini agak pekat.

Bagi yang ingin membuat kesan mata yang lebih dramatik, anda boleh menggunakan pembayang mata berwarna gelap untuk shadow.

Penggaris Mata Jenis Padat

Bagi eyeliner jenis ini, ia memerlukan teknik yang khusus. Tapi bagi anda yang inginkan garisan pada mata nampak natural, ini adalah pilihan yang terbaik. Untuk eyeliner jenis ini, apa yang diperlukan adalah berusnya. Pastikan anda membasahi dulu berus tersebut, bagi membolehkannya mudah melekat pada berus. Agar hasil lebih maksima, anda juga boleh menggunakan sedikit foundation tanpa minyak yang disapukan di sekitar kelopak mata sebelum pemakaian.

Sepertimana eyeliner lain, kaedah pemakaiannya juga sama. Agar mata tampak lebih tegas atau lebar, anda boleh mengulangi beberapa kali sapuan pada bahagian tengah, bukan pada sudut dalam mata.

Akhir sekali, anda boleh menggunakan putik kapas yang sudah dibasahi. Usap perlahan pada bahagian mata yang telah disapu eyeliner. Cara ini berkesan untuk mendapatkan mata tampak lebih natural.



Tip Mata Menawan

• Bagi mereka yang memiliki kulit coklat, ada baiknya anda memilih warna eyeliner yang natural, seperti hitam dan coklat. Namun, ini tidak bermakna warna-warna seperti putih, biru, kelabu atau pun hijau tidak sesuai.
• Untuk menciptakan kesan natural dan membentuk warna dominan pada kelopak mata, warna-warna matte sesuai dipilih.
• Warna-warna shimmer membantu memberi kesan lebih berkilau tetapi tidak terlalu tebal. Ia juga boleh digunakan untuk memberi kesan pada kelopak mata. Shimmer berwarna terang, boleh digunakan untuk kesan highlight pada solekan manakala shimmer berwarna gelap sesuai untuk membentuk kesan semi dramatik.
• Bagi memperoleh kesan lebih berkilau pada mata, glitter sesuai diaplikasikan terutama bagi yang ingin menghadiri majlis pada waktu malam mahupun mereka yang bakal berkahwin. Ia membantu dalam memberikan hasil yang lebih dramatik.
• Bagi mereka yang memiliki kulit berminyak, pembayang mata biasanya sukar untuk bertahan lama. Justeru, untuk memastikan sapuan tersebut bertahan lama serta cantik di kelopak mata, sapukanlah bedak sebelum anda menyapu pembayang mata jenis shimmer.

Rapikan Alis Tanpa Rasa Sakit

Mata yang menawan setelah mengenakan penggaris mata pasti akan terjejas jika alis kelihatan berserabut dan tidak rapi. Masalahnya ketika ini ramai yang takut untuk merapikan alis kerana rasa sakit tatkala menggunakan tweezer. Tapi ada cara yang boleh mengurangkan rasa sakit ini. Ikuti 4 tip ini:

• Sebelum dicabut, oleskan pelempab atau minyak zaitun sekitar alis saja dan hindari bahagian mata. Biarkan hingga 5 minit.
• Selepas itu sapu sedikit bedak tabur di hujung jari-jari tangan anda, agar jemari tidak tergelincir semasa mencabut alis.
• Ketika mencabut, tarik hujung alis ke atas atau ke tepi dengan perlahan bagi memudahkan anda mencabut tiap helai bulu alisnya, sekaligus mengurangi rasa sakit saat dicabut.
• Setelah selesai dan bentuk alis sudah didapati, taburkan sedikit bedak bahagian alis tadi lalu bersihkan dengan tisu kering atau tisu basah.