29 September 2012

Belanjawan/ Bajet 2013


Berikut ialah intipati Belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga MenteriKewangan, di Dewan Rakyat semalam.


Tema Belanjawan 2013 ialah “Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji
Ditepati”.

* Peruntukan RM251.6 bilion bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek
pembangunan.

* RM201.9 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion
bagi peruntukkan pembangunan.

* RM58.6 bilion diperuntukkan bagi Emolumen dan RM33.7 bilion bagi perkhidmatan
dan bekalan.

* RM30 bilion diperuntukkan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan
infrastruktur perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.

* RM11.1 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan
latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* RM4.6 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM2 bilion
bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

* Kerajaan akan terus memperhebat pelaksanaan 12 Bidang Keberhasilan Utama
Ekonomi (NKEA) negara.

* RM3 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Permulaan, termasuk RM1.5
bilion bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi
dan padi.

* RM500 juta diperuntukkan bagi projek River of Life bagi mengindahkan Sungai
Klang, RM300 juta untuk projek pemulihan rangkaian paip dan pembetungan bagi
perkhidmatan dan kemudahan air.

* RM358 juta diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan sempena Tahun
Melawat Malaysia 2013/2014.

* Lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama tiga tahun bagi pengusaha
pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750 pelancong asing atau 1,500
pelancong tempatan setahun.

* Memberi penekanan kepada sektor pertanian untuk meningkatkan pendapatan
negara dan memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan. RM5.8 bilion
diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

* RM30 juta diperuntukkan bagi pembangunan program pertanian merangkumi
aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran,
peningkatan bekalan benih berkualiti, kestabilan harga melalui jualan terus dari
ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan
pertanian.

* RM75 juta bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan.

* RM432 juta disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit di
bawah NKEA sektor perladangan.

* RM127 juta disediakan untuk pembangunan bahan terbitan oleo bernilai
tinggi yang dapat mengubah komposisi industri hiliran.

* Empat kawasan jelapang padi baru dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud,
Batang Lupar, Rompin dan Pekan. Pertambahan seluas 19,000 hektar dengan
penyertaan 12,237 pesawah dijangka menghasilkan 104,000 tan metrik dengan
perbelanjaan sebanyak RM140 juta.

* RM230 juta diperuntukkan sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun
bantuan sara hidup nelayan. Pada masa ini kerajaan memberi elaun sara hidup
RM200 sebulan kepada nelayan, menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20
sen sekilo bagi hasil tangkapan ikan dan memperkenal skim perlindungan insuran
nelayan.

* Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat
berstatus Tun Razak Exchange, pengecualian duti setem berstatus TRX Marquee dan
pengecualian cukai bagi pemaju hartanah.

* Yayasan Wakaf Malaysia, di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji diberi
tanggungjawab untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat dengan mengambil kira
struktur perundangan Agama Islam Negeri.

* RM9.0 bilion atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT
diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera.

* Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah RM1.0 bilion akan disediakan oleh SME
Bank untuk membantu PKS membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang
menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual.

* Skim Jaminan Modal Kerja akan dilanjutkan sehingga Disember 2013, dan
diperluaskan kepada syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi serta kelayakan
manakala dana pemegang saham syarikat ditingkatkan kepada RM20 juta.

* Tambahan RM1 bilion lagi kepada Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan
Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih
bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok
tambahan.

* RM1.2 bilion diperuntukkan bagi pendidikan prasekolah termasuk kepada Jabatan
Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, PERMATA dan Jabatan Perpaduan dan
Intergrasi Nasional.

* Peruntukkan RM380 juta disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk
penempatan guru prasekolah.

* Kerajaan mencadangkan geran pelancaran RM10,000 kepada penyedia Pusat
Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) swasta untuk membantu mereka membuka taska
baru yang berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE swasta baru akan mendapat manfaat.

* Potongan cukai dua kali akan diberi kepada majikan yang menyediakan elaun
atau subsidi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska dan
pusat jagaan.

* Pengecualiaan cukai pendapatan untuk tempoh lima tahun dan elaun bangunan
industri pada kadar 10 peratus setahun kepada pengusaha prasekolah swasta.

* Kerajaan akan melaksanakan projek perintis taska Orang Kurang Upaya (OKU)
bagi enam kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi sindrom down, autisme,
penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan OKU masalah pembelajaran.

* RM3.7 bilion diperuntukkan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan
vokasional.

* RM200 juta diperuntukkan untuk penubuhan “Graduate Employability Taskforce”
untuk memperkukuhkan kebolehpasaran graduan.

* Potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan syarikat yang melaksanakan Skim
Latihan 1Malaysia. Galakan mula diberi 1 Jun 2012 sehingga 2016.

* RM400 juta diperuntukkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi
memberi pinjaman untuk dimanfaatkan hampir 40,000 pelatih di peringkat Sijil
Kemahiran Malaysia tahap satu hingga lima.

* RM50 juta diperuntukkan untuk melatih 3,200 pelajar masyarakat India bagi
memperlengkapkan mereka dengan kemahiran.

* Seramai 1.4 juta anggota Perkeso boleh menjalani pemeriksaan kesihatan
percuma di hospital kerajaan atau klinik panel Perkeso.




* Pelarasan pencen pesara kerajaan dengan menaikkan pencen minimum daripada
RM720 kepada RM820 berkuatkuasa 1 Jan 2012.

*Pengurangan caj bayaran pasport sebanyak 50 peratus daripada RM300 kepada
RM150 untuk tempoh sah laku lima tahun bagi warga emas dan kanak-kanak.

* Kelayakan masuk bagi pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditingkatkan
kepada Ijazah Sarjana Muda Kepujian dan bagi askar laskar, kelayakan masuk
minimum ditingkatkan ke peringkat SPM dan diploma.

* Pemberian sumbangan RM1,000 secara “one-off” kepada bekas tentera yang
bersara kurang daripada 21 perkhidmatan serta tidak berpencen. Seramai 224,000
bekas tentera akan mendapat manfaat.

* Bahagian Pinjaman Perumahan akan disusun semula di mana panel bank komersial
dilantik untuk menguruskan pinjaman berkuat kuasa Jan 2013, manakala wang proses
bagi permohonan ditetapkan pada kadar RM100.

*RM591 juta diperuntukkan bagi mengurangkan kadar jenayah termasuk menambah
bilangan anggota polis, menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal, meningkatkan
jumlah anggota pasukan sukarewalan polis dan menambah pemasangan kamera litar
tertutup.

* Menambah peruntukan geran Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan sebanyak RM20
juta.

* Memberi geran RM10,000 kepada persatuan penduduk untuk menggalakkan aktiviti
rondaan di kawasan kejiranan dan memperuntukkan RM90 juta untuk menyediakan
seragam kepada anggota Rela yang aktif.

*RM276 diperuntukkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk
membanteras rasuah selain menambah 150 perjawatan setiap tahun sehingga mencapai
5,000 anggota.

* Kerajaan akan menubuhkan “National Strategic Coordination Unit” untuk
merancang dan menyelaras Program Transformasi Bandar dan Program Transformasi
Luar Bandar.

* Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan diwujudkan di Alor Setar, Kuantan, Ipoh,
Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching, manakala lima RTC diwujudkan di Melaka,
Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

* RM4.5 bilion diperuntukkan bagi mengurangkan jurang pembangunan antara bandar
dan luar bandar meliputi pembinaan 441 kilometer jalan luar bandar dan jalan
perhubungan desa, projek infrastruktur utiliti, Program Desa Lestari, program
pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli serta membekalkan 40,000 tangki air di
kawasan pedalam Sabah dan Sarawak.

* RM19.3 bilion diperuntukkan bagi perkhidmatan dan pembangunan kesihatan.
RM20 juta untuk membuka tambahan 70 Klinik 1Malaysia, yang akan turut
menyediakan perkhidmatan ujian kolestrol dan glukosa serta ujian air kencing.

* RM50 juta diperuntukkan untuk program pembangunan wanita dan masyarakat
termasuk melatih 500 wanita di bawah Program Pengarah Wanita, meningkatkan
Program Inkubator Keusahawan Ibu Tunggal, pemberian geran RM1,000 untuk “Program
Get Malaysian Business Online” dan pemeriksaan percuma ujian Mamogram.

* RM1.2 bilion diperuntukkan untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia KAR1SMA)
yang meliputi program bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja
Orang Kurang Upaya serta bantuan penyakit kronik.

* RM400 juta diperuntukkan untuk program Akhiri Zaman Miskin (1AZAM) yang
dijangka memanfaatkan 58,330 peserta.

* Menambah enam pusat Anjung Singgah dan mewujudkan lima Anjung Kasih di
Hospital Sibu, Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh.

* RM738 juta Ringgit diperuntukkan bagi pembangunan belia dan sukan. RM15 juta
diperuntukkan bagi mempersiapkan para atlet ke kejohanan sukan antarabangsa,
RM50 juta lagi untuk tempoh empat tahun khusus untuk persiapan Sukan Olimpik Rio
2016.

* Tahun 2013 diisytiharkan sebagai Tahun Kesukarelawan Nasional.

* RM50 juta diperuntukkan bagi mewujudkan “New Entrepreneur Foundation” untuk
membantu usahawan muda dalam bidang ICT dan RM50 juta lagi untuk mewujudkan
“Young Entrepreneur Fund”.

* Memberi rebat RM200 secara “one-off” bagi pembelian satu unit telefon pintar
3G untuk belia berumur 21 hingga 30 tahun.

*RM6 juta diperuntukkan sebagi bantuan pentadbiran dan kegiatan kepada semua
persatuan seni yang berdaftar.

* RM1.9 bilion diperuntukkan bagi membina 123,000 unit rumah dengan harga
berpatutan di kawasan-kawasan strategik merangkumi rumah yang dilaksanakan oleh
Syarikat Perumahan Negara Berhad, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Jabatan
Perumahan Negara.

* Had pendapatan peminjam perseorangan bagi Skim Rumah Pertamaku dinaikkan
daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan, manakala had pendapatan bersama suami
isteri RM10,000.

* Melaksanakan pemberian pusingan kedua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Ia
juga diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang
berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.

* Pengurangan subsidi gula 20 sen sekilogram mulai 29 Sept 2012 dan
memperuntukkan RM1.5 bilion bagi menstabilkan harga minyak masak di pasaran.

* RM386 juta diperuntukkan bagi membuka 57 Kedai Rakyat 1Malaysia dan
menanggung kos pengangkutan produk dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan
Labuan.

* Diskaun 50 peratus ke atas tambang penumpang feri dari Labuan ke Sabah dan
Sarawak serta diskaun 50 peratus ke atas tambang feri bagi kenderaan komersial
mengangkut barang keperluan dan binaan ke Labuan.

* Pencarum KWSP dibenarkan membuat pengeluaran di Akaun 2 bagi jemaah muassasah
untuk menampung kekurangan kos tambang dengan had pengeluaran RM3,000.

*Kadar cukai pendapatan individu diturunkan satu peratus bagi kumpulan
berpendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 hingga RM50,000.
* Pengusaha bas sekolah yang membeli bas baru untuk mengantikan bas yang
berusia lebih 25 tahun akan diberi rebat tunai RM10,000 dan subsidi kadar faedah
dua peratus ke atas pinjaman.

* Skim perlindungan insurans kemalangan diri, hilang upaya kekal dan
kematian kepada murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah
berpermit dengan had maksimum perlindungan RM100,000.

*RM2.6 bilion diperuntukkan bagi program kebajikan pelajar sekolah daripada
keluarga berpendapatan rendah merangkumi bantuan makanan asrama, Rancangan
Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan bayaran tambahan persekolahan.
* Program bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan
pelajar sekolah menengah diteruskan mulai Jan 2013 dengan peruntukan RM540 juta.
* Meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada pelajar institusi
pengajian tinggi dan pra-universiti dan nilai baucar dinaikkan daripada RM200
kepada RM250.

* Pelepasan cukai bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dinaikkan
daripada RM3,000 kepada RM6,000.

* Diskaun 20 peratus bagi peminjam yang menyelesaikan sekali gus pinjaman
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), manakala peminjam yang
membayar pinjaman secara konsisten akan menikmati diskaun 10 peratus setahun.

* 100 Pusat Internet 1Malaysia akan diwujudkan di kawasan perumahan rakyat
bagi tempoh 2013 hingga 2015 dengan peruntukan RM150 juta.

* Tambahan bonus sebulan gaji bagi penjawat awam yang mana bayaran pertama
akan dibuat pada Dis 2012, manakala sebulan lagi pada Jan 2013 dan bayaran
RM500 kepada pesara kerajaan.




 sumber:BERNAMA

25 September 2012

Lelaki Mesti Prihatin Periksa Kesihatan Diri


Mencegah penyakit adalah lebih baik daripada merawat. Pemeriksaan kesihatan antara langkah pencegahan yang boleh diambil. Namun begitu tak ramai mempunyai kesedaran untuk melakukan pemeriksaan kesihatan walaupun cuma setahun sekali. Lelaki lebih ramai mengambil pendekatan acuh tak acuh dalam bab ini.



Pemeriksaan kesihatan ini mampu mengesan penyakit-penyakit yang mungkin serius di tahap awal lagi. Ketika ini rawatan awal boleh dilakukan dan peluang untuk sembuh mungkin akan menjadi lebih besar. Sebaiknya jadualkan pemeriksaan kesihatan ini sebagai mana anda menjadualkan pemeriksaan kereta anda. Berikut ini beberapa pemeriksaan kesihatan yang wajar sekali dilakukan oleh golongan lelaki.

Pemeriksaan Testikular
Kanser testis kerap dialami oleh lelaki yang berusia dalam lingkungan 15 hingga 35 tahun. Walaupun ia termasuk dalam salah satu kanser yang boleh diubati dan mempunyai kadar kematian yang rendah berbanding penyakit lain, pencegahan awal mampu menyembuhkan penyakit ini. Lelaki seharusnya melakukan pemeriksaan testikular ini sepertimana pemeriksaan kesihatan yang lazim dilakukan setiap tahun dan pemeriksaan sendiri pula boleh dibuat setiap bulan.

Dalam pemeriksaan ini doktor akan melakukan memeriksa alat sulit untuk melihat sebarang kelainan termasuklah benjolan ataupun pembengkakan. Anda sendiri bagaimanapun boleh melihat kelainan pada alat sulit di hadapan cermin. Perhatikan perubahan pada saiz ataupun berat testis, sekiranya ada, pastikan anda mendapat pemeriksaan selanjutnya dengan pakar.

Pemeriksaan Digital Rektum
Ini adalah salah satu lagi pemeriksaan yang harus dilakukan setiap tahun. Pentingnya pemeriksaan ini adalah ia juga mampu mengesan kanser prostat pada peringkat awal selain kanser kolektorel, prostatitis dan hemorrhoids.

Lelaki yang berusia lebih 50 tahun amat disarankan untuk melakukan pemeriksaan ini setiap tahun begitu juga lelaki muda yang ada antara ahli keluarga mengalami penyakit ini.

Ketika pemeriksaan ini doktor akan menggunakan pelincir selain sarung tangan untuk memeriksa sekiranya ada benjolan ataupun kelainan pada prostat. Bahagian abdomen akan ditekan untuk merasai sebarang kelainan pada sekeliling organ tersebut.


19 September 2012

Jangan Kerana Rupa Paras, Rumah Tangga Porak Peranda


Hanya manusia biasa, itulah kita. Dari hari ke hari, pastinya fizikal berubah mengikut peredaran waktu. Tuntutan tanggungjawab menyebabkan kita tiada masa untuk menjaga penampilan. Ia sukar dielakkan, namun ia berprestasi menggugat keharmonian rumah tangga. Jangan jadikan paras rupa sebagai taruhan menyulam cinta dan kebahagiaan rumah tangga. Ikuti tip berikut.



1. Imbas Kembali
Ya, setiap daripada kita mengimpikan pasangan punyai paras rupa menawan. Namun, ‘kesempurnaan’ itu ada kalanya tidak kekal, sehinggakan sedikit sebanyak memberi kesan dalam kelangsungan rumah tangga seperti perasaan jemu dan seterusnya pengabaian emosi masing-masing.

Oleh itu, jika cinta anda berdua ikhlas dan bukan berpaksikan rupa semata-mata, imbaslah semula kenangan dan memori ketika bercinta dulu serta pengorbanan yang pernah dilaksanakan. Nescaya, anda berdua akan kekal selamanya.

2. Saling Menasihati
Dalam mengharungi arus hidup berkongsi, pastinya banyak perkara yang perlu difikirkan. Namun, anda dan pasangan perlulah sentiasa peka dengan persekitaran serta sentiasa nasihat-menasihati agar diri masing-masing tampil menarik. Elakkan daripada membiarkan diri kusut dengan masalah rumah tangga yang menimpa. Tampil segar sentiasa di mata sanak saudara, rakan mahupun jiran tetangga.

3. Terbuka Terima Ketidaksempurnaan
Ini perlu untuk memupuk hubungan baik antara suami dan isteri. Masing-masing perlulah menerima kenyataan bahawa kecantikan luaran akan pudar, namun tidak kecantikan dalam diri. Oleh itu, bersedia untuk menerima sebarang ketidaksempurnaan dan perbaikilah imej diri.

4. Berfikiran Matang
Ya, tidak semua bertuah memiliki raut idaman. Namun, jangan jadikan ia satu kelemahan dalam diri mahu pun dalam sebuah institusi kekeluargaan. Jadilah seorang yang matang dalam menjalani kehidupan. Nescaya kematangan anda akan menyerlahkan kewibawaan serta persona diri.

5. Bawa Ke Pusat Perapian Diri
Kulit kasar dan berminyak, perut buncit, muka berjerawat, selulit dan pelbagai lagi kondisi mencela penampilan anda. Jika pasangan anda dilihat kurang menjaga aspek luaran, pancinglah hati si dia dengan membawanya ke spa mahu pun pusat perapian diri bagi menyerlahkan sisi perawannya.

TIP
* Jangan memerli mahupun memandang enteng jika pasangan anda kelihatan tidak menarik lagi. Berikannya semangat serta dorongan untuk berubah ke kondisi yang lebih baik.

* Anda boleh hadiahkan set produk kecantikan, namun jangan sampai si dia terkecil hati dengan tindakan anda itu.

* Sebagai ketua keluarga, perlulah anda memantau segala keperluan perapian diri / kosmetik si isteri. Biar dia tahu anda juga ambil peduli akan hal-hal sedemikian.

* Anda pula jangan terlalu mengharapkan si dia tampil berbeza dan menarik mengikut kemahuan anda. Hargai segala usahanya untuk tampil cantik di mata anda.

05 September 2012

Cara Semula Jadi Kuatkan Jantung


Penyakit jantung koroner merupakan salah satu penyebab kematian. Penyakit jantung koroner ini disebabkan oleh tujuh faktor risiko utama. Faktor tersebut meliputi peningkatan kadar kolesterol darah, trigliserida dan lemak lain, peningkatan darah, peningkatan kadar asid dalam darah serta gangguan metabolik, khususnya diabetes, obesiti, merokok dan kurang aktiviti fizikal.

Selain menggunakan pengubatan moden, anda boleh membantu mengatasi penyakit ini dengan beberapa sumber makanan semula jadi. Berikut adalah beberapa sumber yang boleh anda amalkan :



Anggur
Secara umumnya, buah-buahan segar bermanfaat dalam membantu mengatasi penyakit jantung. Buah-buahan ini bekerja dengan cara menguatkan jantung. Anggur, khususnya efektif dalam meredakan rasa sakit pada jantung dan degupan jantung. Penyakit tersebut dikatakan boleh dikawal dengan cepat jika pesakit mengamalkan diet eksklusif dengan anggur selama beberapa hari. Jus anggur khususnya amat bermanfaat ketika seseorang menghidap serangan jantung.

Epal
Buah ini mengandungi komponen yang berfungsi menstimulasi jantung. Epal dan olahan dari sumbernya amat bermanfaat bagi pesakit lemah jantung.

Bawang Merah
Bawang merah dikatakan amat bermanfaat dalam mengatasi penyakit jantung. Sayuran yang satu ini bekerja mengawal kolesterol darah dengan mengoksidasi kelebihan kolesterol. Satu sudu kecil jus bawang merah mentah di pagi hari dikatakan amat bermanfaat dalam kes-kes sebegini.

Madu
Madu mengandungi pelbagai komponen yang berfungsi mencegah semua jenis penyakit jantung. Madu bekerja menguatkan jantung dan melancarkan perjalanan darah. Selain itu, madu juga efektif dalam meredakan rasa sakit pada jantung dan degupan jantung. Makan satu sudu besar madu setiap hari cukup untuk mencegah semua jenis gangguan jantung.

Asparagus
Sayuran ini merupakan makanan yang baik untuk menguatkan jantung. Untuk membantu mengatasi lemah jantung dan pembesaran jantung, cubalah mencampurkan ekstrak jus asparagus segar dengan madu (dengan perbandingan 2:1). Ubat ini sebaiknya diambil tiga kali sehari. Pesakit jantung juga boleh mendapatkan manfaat dengan cara merebus sayur ini.

Alfalfa
Jus herba ini telah terbukti sangat membantu pada sebahagian besar kes yang berkaitan dengan penyakit arteri dan jantung. Untuk tujuan ini, biasanya anda hanya perlu menggunakan daun tanaman ini. Tetapi, jus alfalfa sendiri terlalu keras jika dimakan sendiri.

Oleh itu, lebih baik mencampurkannya dengan jus lobak merah dalam jumlah yang sama, iaitu sekitar 125 ml. Dengan kombinasi seperti ini, manfaat kedua-dua jus ini dapat ditingkatkan.

Vitamin E
Pesakit jantung sebaiknya menambah pengambilan makanan yang kaya vitamin E. Vitamin ini dikatakan memperbaiki fungsi jantung dengan cara memperbaiki sel-sel. Vitamin E juga meningkatkan perjalanan darah dan kekuatan otot. Produk-produk bijirin penuh dan sayuran hijau, khususnya daun kubis di bahagian luar, merupakan sumber vitamin E.

Vitamin C
Vitamin ini juga penting kerana berperanan melindungi kerosakan spontan pada dinding kapilari yang biasa memicu serangan jantung. Vitamin C juga mencegah peningkatan kolesterol darah. Stres, kemarahan, ketakutan dan kekecewaan serta emosi seumpamanya boleh meningkatkan lemak dan kolesterol darah. Tapi, reaksi stres ini tidak akan membahayakan jika diet anda cukup vitamin C. Buah sitrus merupakan salah satu sumber terkaya vitamin C.

8 Kesilapan Ketika Membeli Kereta


Lelaki dan kereta tidak dapat dipisahkan. Malah ada yang mengumpamakan kenderaan ini sebagai “isteri kedua” sekali gus membuat ‘isteri pertama’ makan hati.



Lelaki juga selalu dikatakan ‘pakar’ dalam urusan kereta, serba serbi diketahui termasuk tentang membaiki malah urusan jual beli kereta sendiri. Pun begitu walau mahir tentang hal ini ada kalanya lelaki tersilap ketika membuat urusan pembelian kereta. Cuba semak 10 kesilapan lelaki ketika membuat urusan jual beli kereta.

1. Tidak Mengambil Kira Kos Insurans
Kebanyakan jurujual tidak pernah membincangkan berapa kos insurana yang perlu pengguna bayar sebaliknya hanya mempromosikan kebaikan kereta yang mereka mahu jual. Kebanyakan kereta mewah, insuransnya juga agak mahal. Pastikan kos insurans yang anda bayar menyamai nilai kereta kerana kalau kemalangan, anda yang rugi jika kosnya lebih rendah.

2. Fikirkan Bayaran Bulanan Tanpa Mengambil Kira Harga
Tawaran harga runtuh, tiada wang pendahuluan, bulanan rendah antara iklan-iklan yang biasa dibaca di dada akhbar. Kebanyakan pembeli mudah tertipu dengan bayaran bulanan murah tanpa mengambil kira kos sebenar sebiji kereta dan berapa nilai bayaran jika dibayar dalam tempoh yang panjang. Silap-silap anda mampu membayar sebiji kereta mewah.

3. Tidak Bertanya Tentang Kos Tersembunyi
Sudah pasti tiada siapa yang bertanya tentang kos tersembunyi khususnya yang diambil oleh pengedar kereta dan jurujualnya. Tahu-tahu saja, ia sudah dicaj sebagai kos yang perlu dibayar oleh pengguna.

4. Tidak Memilih Bank Yang Memberikan Kadar Faedah Yang Rendah
Kebanyakan dari pembeli tidak membuat kajian dari satu bank ke bank lain yang memberikan kadar faedah yang rendah sebaliknya mereka menyerahkan segala-galanya kepada jurujual untuk bercakap bagi diri mereka.
Sesetengah jurujual sering memberikan alasan agak mudah dengan “bank biasa” (mungkin sudah kenal orang dalam) tetapi jika kita menerimanya bulat-bulat bermakna anda perlu menanggung hutang 108 bulan jika mengambil untuk tempoh sembilan tahun.

5. Ada Kos Lain
Pelbagai aksesori tambahan dijanjikan apabila anda membeli kereta. Sesetengah jurujual mengakui ia sebagai hadiah percuma namun pernahkah anda bertanya, adakah benar ianya percuma atau dijadikan sebagai bayaran yang anda tidak faham maknanya ketika menandatangani kos pembelian kereta tersebut.

Kebanyakan jurujual biasanya “bermulut manis” kerana mereka mahukan komisen yang bakal diperoleh jika pembeli membeli kereta itu tetapi emosi anda akan rosak kerana menanggung hutang dan selagi tidak habis anda menjadi seperti “pelarian” kerana perlu membayarnya setiap bulan atau kereta ditarik jika gagal melaksanakannya.

6. Tidak Melakukan Pandu Uji
Kebanyakan lelaki sangat tertarik dengan reka bentuk kereta yang agak ‘sporty’. Malah mereka turut mendengar dari kawan-kawan tentang sesuatu kehebatan kereta tersebut. Namun pernahkah anda memandu uji kereta yang ingin dibeli? Adakah anda hanya mengintai jenamanya, harganya dan selebihnya anda menandatangani. Lebih teruk kalau anda membeli kereta terpakai. Luarannya nampak cantik tetapi enjinnya boleh buat anda pening kepala selepas beberapa bulan memakainya.

7. Hanya Mengunjungi Jurujual Yang Anda Kenali
Kebanyakan orang mempercayai rakan mereka dengan anggapan, kawan tidak akan makan kawan. Tapi, awas dengan kenyataan ini. Ada kalanya, kawan akan makan kawan kerana tiada orang yang mahu rugi dalam sesuatu bidang diceburinya. Sebaiknya pergilah bertemu beberapa orang jurujual dan buat perbandingan harga dan kadar faedah dan dari situ, barulah anda tidak akan tertipu.

8. Tukar Beli Yang Baru
Asal keluarnya kereta baru, berlumba-lumba syarikat pengeluar kereta membuat pelbagai penawaran. Sesetengah lelaki pula terpedaya dengan reka bentuk yang sportif dan sebagainya. Ini membuatkan mereka terfikir untuk menukar kereta lama kepada kereta baru biarpun ada kalanya hutang kereta lama hanya tinggal sedikit saja lagi. Sebaiknya, buatlah kajian terlebih dahulu kerana kebanyakan kereta baru tidak dapat dikenal pasti lagi apakah “kekurangan” biar pun pada luarannya ia nampak cantik dengan pelbagai kemudahan.

sumber;mingguanwanita