Rata-rata lelaki meninggal dunia lima tahun lebih awal daripada wanita. Ini kerana melalui kajian mendapati ramai lelaki kurang mengambil berat soal kesihatan diri mereka. Keadaan ini berlaku disebabkan golongan ini beranggapan tubuh mereka lebih kebal berbanding wanita.
Kejahilan mereka terhadap serangan penyakit ini turut dipengaruhi oleh kurangnya pemahaman tentang kesihatan berbanding wanita. Ketidaktahuan ini secara tidak langsung meningkatkan lagi risiko mereka terhadap sesuatu penyakit yang tidak begitu serius pada awalnya sehingga berubah menjadi serius kerana dibiarkan tanpa rawatan sewajarnya.
Dalam pada itu, sikap lelaki yang tidak bersedia untuk mengubah tabiat atau perilaku tidak sihat mereka memburukkan lagi keadaan. Misalnya, tabiat merokok, meminum minuman keras, mengambil daging merah dan makan makanan goreng dalam kuantiti yang banyak. Amalan atau tabiat tersebut boleh menjejaskan kesihatan mereka. Namun, malangnya mereka tidak berusaha untuk mengubahnya.
Yang pasti, tabiat dan perilaku kebal terhadap serangan penyakit sebenarnya telah sebati dalam diri mereka sejak kecil. Ini kerana lelaki telah dididik sejak kecil supaya mengabaikan sesuatu yang menyakitkan.
Dengan berbuat demikian, kononnya rasa sakit yang mereka alami itu akan lenyap seiring dengan waktu. Justeru, mereka tidak perlu berasa khuatir terhadap tubuh atau memanjakan diri mereka sendiri. Disebabkan itu juga, maka tidak hairanlah sekiranya mereka mampu menahan kesakitan.
Selain itu, atas faktor ini juga lelaki tidak mempunyai masalah untuk terlibat dengan kegiatan atau sebarang aktiviti yang mungkin membahayakan diri mereka sendiri. Mereka tidak takut mengalami kecederaan dan tidak gentar biarpun terpaksa berhadapan dengan risiko.
Apa pun, realitinya, lelaki akan hanya bertemu doktor apabila dirinya tidak mampu lagi menahan kesakitan. Pendek kata, selagi mereka mampu menanggungnya, selagi itulah mereka tidak akan bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan.
Terdedah Dengan Tekanan
Lelaki berusia dalam lingkungan 45 hingga 54 tahun berisiko tiga kali lebih kerap mati akibat serangan jantung berbanding wanita. Kadar kematian lelaki akibat penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis, buah pinggang, strok dan kanser lebih tinggi jika dibandingkan dengan wanita.
Dari aspek sosial, lelaki lebih terasing daripada keluarga kerana komitmen terhadap kerjaya. Keadaan ini secara tidak langsung memberi batasan hubungan mereka untuk bermesra dengan isteri dan anak-anak. Malah, ada di antaranya yang terlibat dengan skandal atau hubungan sulit dengan wanita lain.Dari sudut psikologi, lelaki lebih terdedah dengan tekanan dan banyak terlibat dengan kes keganasan rumah tangga termasuk penderaan.
Akibatnya mereka terlibat dengan kanser prostat dan kanser buah zakar. Pun begitu, tidak ramai lelaki yang tahu dan mengambil tahu mengenainya dan cara bagaimana untuk mencegahnya seperti masa wanita yang mengambil berat masalah ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan