KALAU sudah bukan jodoh. Desas-desus berita terlerainya ikatan pertunangan antara pengacara Ally Iskandar, 35, dan Nur Aishah Zainal, 26, akhirnya terjawab setelah pengacara berkenaan membuat kenyataan media baru-baru ini.
Ally yang ditemui pada sesi rakaman Mentor Raya di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Khamis lalu mengakui hubungannya dan Nur Aishah yang merupakan naib johan Gadis Melayu musim pertama putus setelah lima bulan bertunang.
"Pertunangan kami secara rasmi putus pada 30 Julai lalu setelah pihak keluarga saya yang diwakili kakak dan bapa saudara menemui keluarga Aishah di rumahnya.
"Apa yang boleh saya katakan kami putus secara baik dan ini adalah keputusan kami bersama. Walaupun berasa sedih, tetapi saya reda apabila kami ditakdirkan tidak dapat mendirikan rumah tangga," ujarnya.
Ditanya tentang punca perpisahan mereka, Ally menjelaskan ia disebabkan tiada keserasian yang terjalin walaupun mereka berdua sudah cuba untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
Jelas Ally, meskipun tiada lagi sebarang ikatan dengan Aishah, tetapi hubungan mereka berdua tetap baik dan masih lagi berkawan sehingga kini
"Memang keputusan yang dibuat ini cukup berat kerana ia adalah sebahagian daripada harapan keluarga untuk melihat saya berumah tangga memandangkan usia saya kini sudah mencecah 35 tahun.
"Walaupun keputusan yang dibuat ini adalah saat umat Islam hendak menjalani ibadah puasa, namun bagi kami ia lebih baik sekiranya perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin," ujarnya.
Ally enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada dia masih sayang dan cinta terhadap bekas tunangnya itu memandangkan ia terlalu peribadi untuk diceritakan kepada umum.
Jelasnya lagi, dia seboleh-bolehnya tidak mahu terlalu mendedahkan tentang kisah putus tunangnya kerana tidak mahu ibunya menjadi terlalu sedih terhadap apa yang telah menimpa ke atas dirinya.
"Sehingga kini ibu saya masih lagi bersedih setelah arwah ayah meninggal dunia pada bulan April lalu. Dengan apa yang terjadi kepada saya sekarang tentunya membuatkannya berasa lebih sedih," ujarnya.
tinggal kenangan;saat bahagia Ally & Aishah |
Ally dan Aishah mengikat tali pertunangan pada 11 Februari lalu dan dijadualkan mendirikan rumah tangga pada akhir tahun ini.
sumber: kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan