09 Ogos 2011

Segar walaupun berpuasa



Soalan: Sebagai lelaki saya perlu kelihatan sentiasa segar lebih-lebih lagi pekerjaan saya memerlukan banyak aktiviti luar.Namun, di bulan puasa ini, saya sering berasa lemah. Ada yang berpendapat bahawa perokok tegar akan lebih lemah semasa berpuasa. Benarkah hal ini? Adakah cara lain untuk menambah tenaga selain bersahur? Perlukah saya mengambil suplemen?

Jawapan:

Pertamanya mungkin agak kurang tepat untuk mengatakan hanya lelaki perlu kelihatan sentiasa segar kerana kaum wanita pun perlu kelihatan dan sentiasa 'segar' iaitu sihat sejahtera, fizikal, mental, sosial dan spiritual. Di awal puasa, kebanyakan orang yang tidak pernah melatih diri mereka berpuasa akan merasakan keletihan. Tetapi yakinlah bahawa dengan berpuasa kita akan menjadi lebih sihat kerana telah banyak bukti saintifik berkenaan kebaikan berpuasa terhadap kesihatan kita. Keadaan keletihan tidak hanya berlaku kepada perokok tegar seperti saudara tetapi baguslah jika saudara sedar kesan negatif rokok dan mula menanam azam untuk berhenti sepenuhnya bermula bulan Ramadan yang mulia ini. Yakinlah juga bahawa rokok akan memberi saudara banyak masalah kesihatan dikemudian hari.

Keletihan yang teruk mungkin berlaku bagi pengidap diabetes mellitus disebabkan kandungan gula dalam darah yang sangat rendah. Jika kandungan gula sangat rendah, pesakit diabetes mellitus perlu berhenti berpuasa dan perlu semak dos ubat-ubatan yang diambil. Mereka juga perlu menjaga pemakanan. Sebenarnya tidak ada cara yang khusus untuk saudara menambahkan tenaga kecuali dengan memastikan keseimbangan pemakanan dan aktiviti harian yang saudara lakukan.

Jangan jadikan puasa alasan untuk tidak menjalankan kerja dengan lebih baik kerana berpuasa akan memberikan saudara peluang untuk lebih fokus terhadap kerja yang diberikan dan mempunyai lebih masa kerana tidak perlu makan tengahari atau pun mengambil masa rehat. Bahkan saudara sepatutnya menjadi lebih produktif di bulan Ramadan ini.

Jika anda tidak mempunyai masalah selera makan, pengambilan suplemen adalah tidak perlu. Pastikan makanan yang diambil berkhasiat dan seimbang dari segi karbohidrat, protein, mineral dan sebagainya, atau dengan kata lain ambillah nasi dengan kadar yang perlu di samping banyakkan mengambil ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan air. Selamat berpuasa dengan bertenaga dan semoga bulan Ramadan ini menjadi titik tolak saudara membuang tabiat merokok.

1 ulasan:

arituarini berkata...

tq utk jawapan ni..