09 Oktober 2011

Jangkitan Beguk Hanya Sekali Seumur Hidup


Beguk adalah penyakit yang disebabkan jangkitan virus dan biasanya merebak melalui air liur. Ia boleh menjangkiti lain-lain bahagian badan, terutama kelenjar liur parotid. Kelenjar ini menghasilkan air liur dan terletak di belakang kedua-dua belah pipi iaitu di antara telinga dan rahang. Apabila seseorang mendapat beguk, kelenjar ini membengkak dan sakit.

Dalam kebanyakan kes, seseorang itu hanya mendapat jangkitan beguk sekali seumur hidup. Sangat jarang jangkitan berulang kerana badan membentuk antibodi terhadap beguk untuk sepanjang hayat dan ia mampu menahan jangkitan kedua. Biasanya gejala beguk muncul dalam minggu pertama selepas kelenjar membengkak atau 16 hingga 18 hari selepas jangkitan.


Virus mudah merebak

Beguk boleh menyebabkan keradangan dan bengkak pada organ lain termasuk otak, walaupun ia jarang berlaku. Keradangan otak (ensefalitis) dan keradangan selaput otak serta saraf tunjang (meningitis) akibat beguk juga jarang terjadi.

Pada remaja dan orang dewasa, beguk mungkin menyebabkan keradangan pada buah zakar (orkitis). Biasanya hanya sebelah buah zakar yang bengkak dan sakit selama tujuh hingga 10 hari selepas kelenjar parotid membengkak.
Biasanya beguk pada orang dewasa diiringi demam panas, menggigil, sakit kepala, loya, muntah dan sakit perut yang sering disalah anggap sebagai masalah apendiks (apendisitis) jika buah zakar sebelah kanan yang dijangkiti. Selepas tiga hingga tujuh hari, kesakitan dan bengkak pada buah zakar berkurang. Pada masa ini demam juga mulai kebah. Dalam sesetengah kes, kedua-dua buah zakar membengkak.

Bagaimanapun jangan risau, ia jarang menyebabkan kemandulan. Ia juga boleh mengakibatkan keradangan pada pankreas. Bagaimanapun dalam kes tertentu, tanda dan gejala beguk sangat kecil dan tidak disedari. Perkara ini boleh berlaku pada satu daripada tiga pesakit yang dijangkiti beguk. Virus beguk mudah merebak dan berpindah kepada orang lain melalui percikan cecair dari mulut dan hidung individu yang dijangkiti. Ia boleh tersebar melalui batuk, bersin atau ketika ketawa.

Virus ini juga boleh merebak melalui sentuhan langsung seperti mengutip tisu atau menggunakan gelas yang digunakan individu dijangkiti. Tempoh paling mudah berjangkit ialah dua hari sebelum gejala muncul kepada enam hari selepas semua gejala berakhir.

Boleh babitkan otak dan selaput otak

Sehingga kini tiada rawatan khusus untuk beguk. Bagaimanapun, pesakit perlu diberi perhatian sewajarnya. Jika sakit teruk, pesakit perlu dibawa ke hospital. Namun harus memaklumkan doktor lebih awal supaya pesakit tidak perlu menunggu lama kerana ada kemungkinan boleh menjangkiti orang lain.

Oleh kerana beguk disebabkan jangkitan virus, ia tidak boleh dirawat dengan antibiotik. Bagaimanapun untuk mengurangkan kesakitan, tuam tuala panas atau sejuk pada bahagian kelenjar yang bengkak.
Makan makanan lembut (tidak perlu banyak kunyah) dan digalakkan meminum banyak air. Elakkan jus buah berasid seperti jus oren atau limau kerana ia membuatkan kesakitan lebih teruk.

Seperti diterangkan di atas, jangkitan beguk boleh membabitkan otak dan selaput otak. Oleh itu, segera berjumpa doktor jika mengalami ketegangan leher, sawan, rasa mual dan sakit kepala yang keterlaluan.
Antara kaedah pencegahan terbaik ialah memberi suntikan vaksin beguk (atau MMR, juga dipanggil vaksin tiga serangkai). Sekiranya anda tidak pasti sama ada sudah mendapat vaksinasi atau tidak, pergi mendapatkan perlindungan ini. Vaksin MMR selamat dan tiada kesan sampingan jika anda sebenarnya sudah mendapat vaksinasi sebelum ini.

Tiada ulasan: