19 September 2012

Jangan Kerana Rupa Paras, Rumah Tangga Porak Peranda


Hanya manusia biasa, itulah kita. Dari hari ke hari, pastinya fizikal berubah mengikut peredaran waktu. Tuntutan tanggungjawab menyebabkan kita tiada masa untuk menjaga penampilan. Ia sukar dielakkan, namun ia berprestasi menggugat keharmonian rumah tangga. Jangan jadikan paras rupa sebagai taruhan menyulam cinta dan kebahagiaan rumah tangga. Ikuti tip berikut.



1. Imbas Kembali
Ya, setiap daripada kita mengimpikan pasangan punyai paras rupa menawan. Namun, ‘kesempurnaan’ itu ada kalanya tidak kekal, sehinggakan sedikit sebanyak memberi kesan dalam kelangsungan rumah tangga seperti perasaan jemu dan seterusnya pengabaian emosi masing-masing.

Oleh itu, jika cinta anda berdua ikhlas dan bukan berpaksikan rupa semata-mata, imbaslah semula kenangan dan memori ketika bercinta dulu serta pengorbanan yang pernah dilaksanakan. Nescaya, anda berdua akan kekal selamanya.

2. Saling Menasihati
Dalam mengharungi arus hidup berkongsi, pastinya banyak perkara yang perlu difikirkan. Namun, anda dan pasangan perlulah sentiasa peka dengan persekitaran serta sentiasa nasihat-menasihati agar diri masing-masing tampil menarik. Elakkan daripada membiarkan diri kusut dengan masalah rumah tangga yang menimpa. Tampil segar sentiasa di mata sanak saudara, rakan mahupun jiran tetangga.

3. Terbuka Terima Ketidaksempurnaan
Ini perlu untuk memupuk hubungan baik antara suami dan isteri. Masing-masing perlulah menerima kenyataan bahawa kecantikan luaran akan pudar, namun tidak kecantikan dalam diri. Oleh itu, bersedia untuk menerima sebarang ketidaksempurnaan dan perbaikilah imej diri.

4. Berfikiran Matang
Ya, tidak semua bertuah memiliki raut idaman. Namun, jangan jadikan ia satu kelemahan dalam diri mahu pun dalam sebuah institusi kekeluargaan. Jadilah seorang yang matang dalam menjalani kehidupan. Nescaya kematangan anda akan menyerlahkan kewibawaan serta persona diri.

5. Bawa Ke Pusat Perapian Diri
Kulit kasar dan berminyak, perut buncit, muka berjerawat, selulit dan pelbagai lagi kondisi mencela penampilan anda. Jika pasangan anda dilihat kurang menjaga aspek luaran, pancinglah hati si dia dengan membawanya ke spa mahu pun pusat perapian diri bagi menyerlahkan sisi perawannya.

TIP
* Jangan memerli mahupun memandang enteng jika pasangan anda kelihatan tidak menarik lagi. Berikannya semangat serta dorongan untuk berubah ke kondisi yang lebih baik.

* Anda boleh hadiahkan set produk kecantikan, namun jangan sampai si dia terkecil hati dengan tindakan anda itu.

* Sebagai ketua keluarga, perlulah anda memantau segala keperluan perapian diri / kosmetik si isteri. Biar dia tahu anda juga ambil peduli akan hal-hal sedemikian.

* Anda pula jangan terlalu mengharapkan si dia tampil berbeza dan menarik mengikut kemahuan anda. Hargai segala usahanya untuk tampil cantik di mata anda.

Tiada ulasan: