29 September 2011

BBARAH PROSTAT ANCAM LELAKI, LINDUNGI SI DIA SEBELUM TERLEWAT


Hidup wanita pasti tidak akan lengkap tanpa lelaki. Biar apa sahaja gelarannya – datuk, bapa, suami, abang, adik atau anak, merekalah yang menjadikan dunia kita lebih indah dan berseri. Sebagai tanda sayang, berilah perhatian pada kesihatan mereka, kerana lelaki ini lumrahnya alpa serta jarang menyedari perubahan yang dialami diri sendiri. Antaranya berkenaan penyakit sulit yang berisiko maut, iaitu barah prostat yang kini mendaki tangga keempat paling kerap dijangkiti golongan lelaki.

Di Malaysia, barah prostat mewakili 7.4% daripada kes-kes barah di kalangan lelaki. Lazimnya, ia mengambil jangka masa yang lama untuk merebak. Itulah sebabnya ia kerap digelar penyakit orang tua kerana lazimnya dialami warga emas berusia 50 tahun ke atas. Ia juga mempunyai kaitan genetik yang rapat dan boleh mengancam risiko dua kali ganda jika pernah dihidapi olehahli keluarga terdekat. Prostat ialah sejenis kelenjar pembiakan lelaki yang menghasilkan air mani. Akibat beberapa sebab seperti jangkitan bakteria, virus atau protozoa, sel barah akan merebak dari dalam kelenjar menuju ke lapisan lemak prostat, seterusnya ke pundi kencing, saliran kelenjar seminal dan kelenjar limfa berdekatan. Tahap paling serius apabila 90% daripada jumlah sel kanser ini telah merebak ke tulang.

SIMPTOM

1. Kerap kencing dan arus kencing yang perlahan, selalunya pada waktu malam.
2.Kencing tidak lawas.
3.Kewujudan darah atau sperma dalam air kencing.
4.Jika terasa sakit-sakit tulang, pinggul atau tulang belakang, kemungkinan kanser sudah merebak jauh.

DIAGNOSA

1. Saringan ujian darah PSA (prostate specific antigen)
2. Pemeriksaan rektum oleh pakar.
3. Menggunakan kaedah imbasan melalui dubur serta cebisan biopsi untuk mengenal pasti kedudukan dan  saiz tumor.
Barah prostat, bahkan apa sahaja barah sekali pun jarang menunjukkan sebarang tanda-tanda yang ketara sehinggalah ia sudah melarat. Justeru,sebagai golongan wanita yang prihatin dan penyayang, berikan galakan kepada lelaki-lelaki tercinta anda agar segera melakukan pemeriksaan bagi mengenalpasti status kesihatan diri mereka. Lumrah hidup saling mengambil berat bukan sahaja mengeratkan silaturrahim, malahan menjamin kasih sayang berpanjangan sehingga ke hujung usia...