25 Mac 2013

Lelaki Lebih Berisiko Rabun Warna

Penyakit rabun warna ini berbeza dengan buta warna kerana buta warna lebih teruk disebabkan keupayaan mata yang hanya boleh melihat warna kelabu sahaja. Manakala rabun warna hanya membabitkan warna merah, biru dan hijau. Ketidakupayaan mata untuk membezakan ketiga-tiga warna ini boleh menjejaskan kehidupan seharian seseorang terutama dalam hal memandu disebabkan di seluruh dunia menggunakan ketiga-tiga warna ini untuk ciri-ciri keselamatan.
PUNCA
Keturunan
Penyakit ini diturunkan daripada ibu kepada anak lelakinya. Wanita dikatakan bertuah kerana mempunyai unsur baka yang boleh mengatasi masalah ini berbanding lelaki. Tahap masalah rabun warna ini juga tidak berubah dengan peningkatan umur.
Penyakit mata
Apabila seseorang itu menghidap penyakit mata yang tertentu kebarangkalian untuk menjadi rabun warna adalah tinggi. Ini kerana bahagian retina mata sudah terjejas.
Gangguan saraf optik
Saraf optik pada bahagian mata yang terganggu sehingga menyebabkan kerengsaan seterusnya boleh menyebabkan masalah rabun warna.
Kurang zat
Seseorang yang kekurangan zat seperti Vitamin A juga boleh menjadi sukar mengenal pasti warna.
Sakit sebelah mata
Orang yang menghidap penyakit pada sebelah mata boleh menjadi rabun warna kerana keupayaan mata yang berbeza pada sebelah mata yang lain. Justeru, warna yang ditafsirkan pada kedua-dua mata adalah berlainan sehingga menyebabkan warna yang dilihat adalah berbeza daripada yang normal.
Kesan ubat
Individu yang mengambil ubat secara berterusan seperti tamozifen (untuk sakit barah payu dara) juga boleh menjadi rabun warna disebabkan oleh kesan ubat tersebut pada saraf bahagian mata.
TIADA RAWATAN SPESIFIK
Secara umumnya, tiada rawatan spesifik bagi merawat penyakit ini, namun mereka boleh dibantu dengan cara seperti berikut:
Melabelkan warna
Penghidap boleh dibantu dengan melabelkan warna. Bagi pemandu, mereka boleh diajar mengenal warna pada lampu isyarat. Anak-anak yang masih kecil boleh diajar dengan melabelkan nama warna pada pensel warnanya supaya mereka dapat memilih warna yang sepatutnya apabila melakukan aktiviti mewarna.
Cermin mata tinta khas
Kelemahan ini juga boleh diperbetulkan dengan sejenis cermin mata tinta khas. Toyohashi Tech dari Jepun berjaya mencipta satu cermin mata unik untuk membantu mereka yang rabun warna. Namun, ini bukanlah satu kaedah rawatan yang dapat membantu untuk mendapatkan persepsi warna yang lebih normal tetapi hanya untuk membolehkan seseorang mengecam warna dengan lebih baik.

Tiada ulasan: