28 Oktober 2011

5 Masalah Seks Perlu Dirujuk Pakar


Hubungan suami isteri pastinya manis dan membahagiakan ketika fasa awal perkahwinan. Namun setelah masuk ke tahun-tahun berikutnya, satu demi satu masalah datang bertimpa-timpa. Baik daripada kewangan, kesihatan, anak dan tidak terkecuali masalah melibat hubungan intim.





Jika masalah lain mungkin pasangan terbuka untuk berbicara tapi bila ia melibatkan urusan ranjang perasaan malu atau ego lebih menguasai diri. Masing-masing lebih rela mengunci mulut dan memendam rasa serta mengikut rentak yang ada kalanya sukar direncana.

Ada yang sanggup bertahan dengan keadaan ini bertahun-tahun lama daripada meluah dan mencari penyelesaian. Padahal masalah yang dihadapi sebenarnya amat serius dan perlu ditangani oleh pakar. Jika anda ternyata mempunyai masalah seperti di bawah ini maka anda sebenar memerlukan bantuan pakar atau kaunselor kerana ia serius dan boleh menjejaskan kebahagiaan rumah tangga jika berterusan.

1. Seks Cetus Pertengkaran
Sering berselisih pendapat tentang posisi yang sesuai ketika bersama? Atau mungkin anda kurang selesa dengan layanan pasangan sewaktu berada di kamar tidur? Mungkin sudah beberapa kali isu yang sama dibangkitkan namun jalan penyelesaian masih belum kelihatan. Berhati-hatilah kerana bibit kebosanan mula bercambah. Sering bertengkar mengenai seks membuktikan anda memerlukan seseorang untuk rujukan dan tempat meluah perasaan. Bertindaklah dari awal bagi mengelakkan bahtera yang dikemudi karam di tengah lautan.



2. Cipta Pelbagai Alasan
Apabila pasangan mengajak duduk berdua-duaan dengannya dalam suasana yang romantik anda sering memberi alasan. Lebih-lebih lagi apabila niat untuk berhubungan meluncur laju dari mulutnya. Mulalah pelbagai cerita dicipta bagi mengelak dibawa ke ranjang.

Sekiranya hal ini berlaku sedarlah bahawa si dia menyimpan sesuatu di dalam hati. Ingatlah, bahawa seks adalah perkara yang menyeronokkan dan apabila ada alasan untuk melakukan, tidak mustahil telah berlaku sesuatu yang merencatkan keinginannya. Bersedialah untuk berjumpa dengan pakar terapi yang berpengetahuan agar masalah tidak berlarutan.

3. Cari Peluang ‘Makan Di Luar’
Tidak ‘bahagia’ dengan pasangan merupakan alasan yang sering dicipta untuk curang. Carilah punca sebenar dan jika seks jawapannya maka temuilah pakar terapi yang berupaya menyelamatkan rumah tangga anda. Praktikkan teknik serta ilmu yang diajar sedikit demi sedikit. Lama kelamaan, tentu sinar bahagia ditemui.

4. Kecewa Sewaktu Berasmara
Ketika berhubungan, anda sering kali gagal menikmati puncak kenikmatan yang sepatutnya. Disebabkan itulah maka bila diajak ‘bersama’ sekali lagi, mood yang seharusnya gembira bertukar bosan.

Oleh kerana kasihan pada pasangan maka kemahuannya diturutkan sahaja. Sudahlah masalah itu tidak dibincang bersama malah anda pura-pura bahagia sewaktu berada dalam dakapannya. Usah berlengah lagi. Segeralah dapatkan bantuan pakar agar perkara tersebut tidak berulang lagi.

5. Masalah Kesihatan
Ada pasangan yang mengelak untuk bersama pasangan kerana masalah seks yang mereka hadapi. Boleh jadi kerana masalah nafsu yang semakin menurun, disfungsi ereksi, ejakulasi pra matang, vaginimus, frigid, penyakit kelamin dan sebagainya. Masalah sebegini sememangnya memerlukan khidmat pakar jadi berterus teranglah agar pasangan memahami malah mereka juga sebenarnya dengan rela hati menemani anda menemui pakar.

SUMBER:MINGGUANWANITA

1 ulasan:

Unknown berkata...

Masalah seks memang patut diselesaikan kerana ianya adalah tanggungjawab yang wajib