dipetik dari Utusan Online
Seramai enam orang pelajar Malaysia dari Mesir selamat pulang ke tanah air hari ini selepas menempuh detik yang mencemaskan akibat terperangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, Mesir, selama tiga hari.
Kesemua mereka bernasib baik kerana berjaya menaiki pesawat Royal Jordanian Airlines dengan tambang RM2,000 seorang dari Mesir ke Amman, Jordan sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 6.45 petang ini.Pelajar perubatan tahun dua Universiti Zagazig, Nor Atiqah Ismail Suhaimi, 21, berkata, mereka terpaksa mengharapkan bantuan daripada ahli keluarga di tanah air untuk membeli tiket kerana sudah kehabisan duit.Nor Atiqah yang belajar di universiti sama dengan adiknya, Nor Aishah Ismail Suhaimi, 20, juga terpaksa beratur panjang dan berasak-asak dengan orang ramai sebelum berjaya menaiki pesawat.
"Semua sedih nak balik tapi tiada duit untuk beli tiket dan dalam masa sama kami juga kena tipu dengan Egypt Air kerana mereka jual tiket tetapi tiada penerbangan yang berlepas.
"Bila dah dapat tiket kapal terbang kami terpaksa beratur empat jam dan bersaing dengan orang Arab yang berbadan besar semata-mata mahu naik kapal terbang," katanya.
Tambahnya, keadaan menjadi semakin genting apabila bantuan makanan lambat dihulurkan kepada rakyat Malaysia yang terperangkap di lapangan terbang tersebut.
"Bantuan makanan daripada kedutaan kita agak lambat sampai dan tidak mencukupi. Mujurlah pihak kedutaan negara lain yang kasihan melihat kami kelaparan menghulurkan bantuan," katanya.
Sementara itu, seorang pelajar Malaysia yang melancong ke Mesir, Siti Maisarah Zaini, 20 berkata, dia terpaksa menempuh pengalaman menaiki kenderaan tentera ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.
Penuntut Universiti Perubatan Moscow, Rusia itu berkata, keadaan di negara itu menjadi semakin tidak terkawal apabila orang ramai yang merusuh turut membawa senjata tajam.
"Saya dan kawan naik tren ke Iskandariah tetapi apabila sampai di sana untuk menuju ke lapangan terbang, kami tiba-tiba ditahan oleh tentera Mesir dan dibawa ke hostel atas alasan keselamatan.
"Kami melihat sendiri keadaan teruk di sana apabila rakyatnya bertempur dan merusuh dengan polis Mesir,"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan