12 Februari 2011

Kegagalan Dapat Rawatan Batu Karang Boleh Rosak Buah Pinggang

sebelum ni saya dah keluarkan artikal pasal batu karang..kali ni artikal pasal batu karang juga..tp apa jadi kalau batu karang x di rawat...

BATU KARANG BIASANYA DIHADAPI MEREKA YANG BERUSIA 25 TAHUN KE ATAS DAN GOLONGAN LELAKI LEBIH MUDAH ATAU LEBIH BERPOTENSI MENGALAMI MASALAH BATU KARANG BERBANDING WANITA.

   Masalah batu karang juga boleh disebabkan faktor keturunan. Individu yang ada sejarah keluarga mempunyai batu karang berisiko mengalami masalah yang sama. Malah, individu yang pernah mendapat batu karang juga perlu lebih berhati-hati kerana masalah ini boleh berulang.

   Simptom penyakit batu karang dapat dilihat apabila pesakit selalunya mengalami simptom seperti sakit yang amat sakit secara tiba-tiba dan kemudiannya hilang dengan sendiri atau disebut sebagai Colicky pain. Kencing berdarah iaitu air kencing berwarna merah yang dikenali sebagai Gross Haematuria atau Microscopic Haematuria juga merupakan salah satu simptomnya. Dalam masa yang sama, pesakit mungkin mengalami simptom urinari seperti kerap kencing, kencing tidak lawas serta rasa sakit atau pedih ketika kencing.Jangkitan atau Urinary Tract Infection turut boleh berlaku kepada salur kencing dan buah pinggang sekiranya terdapat luka pada salah satu bahagian ini. Akibatnya, pesakit akan mengalami demam tinggi disertai dengan menggigil. Pesakit akan rasa sakit jika bahagian renal angle terbabit disentuh.

   Pada peringkat kronik akibat Urinary Tract Infection, pesakit yang datang untuk rawatan mempunyai simptom seperti tubuh yang lemah, muka pucat akibat kekurangan darah, muka sembap dan kulit menjadi kering gara-gara buah pinggang rosak.Sungguh pun begitu, kesakitan atau simptom yang boleh dikenal pasti bergantung kepada lokasi di mana batu karang itu terbentuk sama ada di saluran pundi kencing atau buah pinggang, saiz batu karang, keadaan dan umur pesakit dan jenis batu karang.

Pengesanan Batu Karang

   Bagi pengesanan sama ada seseorang itu menghidap penyakit batu karang atau tidak, pemeriksaan secara fizikal oleh pakar amat diperlukan.Pesakit juga perlu menjalani ujian air kencing dan darah bagi memastikan sama ada terdapat sel-sel darah merah atau sel-sel darah putih yang boleh menjadi penanda kewujudan batu karang.Ujian imbasan juga dapat memberi bayangan terhadap imej batu karang yang terbentuk terutama apabila buah pinggang bengkak akibat saliran kencing tersumbat oleh batu karang. Manakala ujian Intra Venusurography pula dapat memberi imej yang lebih tentang kedudukan, lokasi dan saiz batu karang.Rawatan bagi penyakit ini bergantung kepada jenis, kedudukan dan saiz batu tersebut. Kebiasaannya batu karang yang bersaiz kurang daripada setengah sentimeter dapat dikeluarkan secara spontan menggunakan ubat atau setelah meminum air dalam jumlah yang banyak.

   Bagi batu karang jenis asid urik dan sistein, ianya dapat dirawat dengan cara merubah pH dari air kencing sehingga batu tersebut dapat larut kembali. Bagaimanapun, terdapat kaedah khusus iaitu dengan menggunakan kaedah gelombang bagi menghancurkan serta mengeluarkan batu. Sinaran laser dapat digunakan untuk memecahkan batu-batu tersebut.

Kaedah Sinar Laser

   Kaedah Extracorporeal Shock Wave Lithotripsy (ESWL) yang menggunakan gelombang getaran dan dibantu imej x-ray yang dapat memfokuskan kedudukan batu-batu karang.
Kesan daripada gelombang yang dipancarkan terus pada batu tersebut menyebabkan batu tersebut menjadi habuk-habuk halus dan keluar menerusi air kencing.Namun ia perlu diulangi beberapa kali. Jika kaedah ini berjaya dilaksanakan, pembedahan dapat dihindari tetapi pesakit mungkin berhadapan sedikit kesan sampingan iaitu pendarahan dalam buah pinggang sehingga menjadi darah beku. Walaupun begitu, kes ini jarang sekali berlaku.

   Bagi batu karang bersaiz besar, kekuatan gelombang seperti ini mungkin tidak berupaya menghancurkan batu tersebut. Oleh itu, kaedah endoskopi yang melibatkan penggunaan alat sebesar pensrl dimasukkan ke dalam buah pinggang yang dikenali sebagai Percutaneous Nephrolithotripsy mungkin digunakan.
Berbeza dengan kaedah pertama, melalui alat ini gelombang yang digunakan memecahkan batu dan ia kemudiannya dikeluarkan melaluinya. Bagi penghidap batu karang yang serius di mana saiz batu melebihi tiga sentimeter pula, mereka mungkin terpaksa menjalani pembedahan.

Toksik Tidak Dapat Dikeluarkan

   Jika pesakit tidak mendapat rawatan segera, pesakit akan mengalami kerosakan atau kegagalan buah pinggang untuk berfungsi disebabkan bahan-bahan toksik yang dihasilkan tubuh tidak dapat dikeluarkan dengan sempurna. Hanya rawatan hemodialisis yang dapat mencuci darah kembali kerana jika dibiarkan berlarutan, pesakit boleh maut.Komplikasi seperti nanah dalam buah pinggang boleh mengakibatkan terjadi bisul dan pesakit demam menggigil. Sekiranya berlarutan tanpa rawatan, pesakit boleh mendapat Septicaemia, keadaan di mana kuman merebak ke seluruh tubuh dan mampu menyebabkan kematian.
Dalam pada itu, Colicky pain ini juga amat berbahaya terutama jika penghidap batu karang adalah seorang juruterbang, pemandu atau sebagainya. Ini kerana jika serangan berlaku, pesakit tidak dapat mengawal keadaan diri dan keadaan sekelilingnya.

   Bagi mereka yang pernah menghidap penyakit ini, risiko untuk mendapat batu karang kembali boleh berlaku pada masa hadapan kerana sifatnya yang berulang-ulang.Disebabkan inilah, untuk sembuh sepenuhnya agak sukar untuk dilakukan. Bagaimana pun, proses bagi mengelak terjadi pembentukan batu karang boleh dilakukan dengan menjaga pemakanan dan minuman. Digalakkan agar meminum sebanyak satu setengah liter air terutama pada waktu malam. Namun, jika terdapat tanda-tanda penyakit, pesakit perlu mendapatkan pemeriksaan daripada pakar.

Tiada ulasan: