04 Februari 2011

Lelaki Lebih Berisiko Hidap Batu Karang

ANDA PERNAH MENGALAMI RASA SAKIT DI BAHAGIAN BELAKANG DAN ARI-ARI SEPERTI TERDAPAT BENDA TAJAM YANG MENCUCUK DAN MEMBUATKAN ANDA TIDAK DAPAT BERDIRI TEGAK? SEBAIK-BAIKNYA LAKUKAN UJIAN AIR KENCING DAN X-RAY KUB IAITU PADA BAHAGIAN GINJAL, URETER DAN PUNDI KENCING KERANA DIBIMBANGI TERDAPAT BATU KARANG PADA BUAH PINGGANG.

   Batu karang terbentuk dalam buah pinggang. Di sinilah berlakunya proses penapisan darah untuk menyingkirkan bahan buangan badan melalui air kencing dan najis. Air kencing kemudiannya dipindahkan dari buah pinggang ke pundi kencing melalui saluran ureter. Air kencing disimpan di dalamnya sebelum ia dibuang daripada badan. Batu karang terbentuk jika terdapat banyak kalsium, oksalat, asid urik dan sistein di dalam air kencing.
   Kekurangan bahan yang bertindak mencegah pembentukan kristal seperti sitrat dan magnesium, jangkitan buah pinggang atau masalah konginental pada salur kencing juga boleh mengakibatkan penyakit batu karang.
Batu karang biasanya dihadapi mereka yang berusia 25 tahun ke atas dan golongan lelaki lebih mudah atau lebih berpotensi mengalami masalah batu karang berbanding wanita.
Faktor risiko juga boleh meningkat terutamanya jika tidak cukup minum hingga mengakibatkan air kencing akan menjadi lebih pekat. Ini sebabnya individu yang kurang minum air lebih mudah mengalami masalah batu karang.
   Masalah batu karang juga boleh disebabkan faktor keturunan. Individu yang ada sejarah keluarga mempunyai batu karang berisiko mengalami masalah yang sama. Malah, individu yang pernah mendapat batu karang juga perlu lebih berhati-hati kerana masalah ini boleh berulang.
Sesetengah ubat, contohnya ubat diuretik, mampu meningkatkan risiko pembentukan batu karang dalam keadaan tertentu. Begitu juga dengan pemakanan yang tinggi kandungan protein purin dan asid urik seperti organ dalaman, daging merah, makanan laut bercengkerang dan alkohol. Pada masa sama, diet kurang serat turut menyumbang kepada masalah ini.
Selain itu, individu yang kurang bergerak, jarang bersenam atau terlantar lama lebih berisiko tinggi kerana aktiviti fizikal yang terhad menyebabkan tulang mengeluarkan lebih kalsium ke dalam darah.

Simptom Jarang Dilihat

   Simptom penyakit batu karang dapat dilihat apabila pesakit selalunya mengalami simptom seperti sakit yang amat sakit secara tiba-tiba dan kemudiannya hilang dengan sendiri atau disebut sebagai Colicky pain.
Kencing berdarah iaitu air kencing berwarna merah yang dikenali sebagai gross haematuria atau microscopic haematuria juga merupakan salah satu simptomnya. Dalam masa yang sama, pesakit mungkin mengalami simptom urinari seperti kerap kencing, kencing tidak lawas serta rasa sakit atau pedih ketika kencing.
Jangkitan atau Urinary Tract Infection turut boleh berlaku kepada salur kencing dan buah pinggang sekiranya terdapat luka pada salah satu bahagian ini. Akibatnya, pesakit akan mengalami demam tinggi disertai dengan menggigil. Pesakit akan rasa sakit jika bahagian renal angle terbabit disentuh.
   Pada peringkat kronik akibat urinary tract infection, pesakit yang datang untuk rawatan mempunyai simptom seperti tubuh yang lemah, muka pucat akibat kekurangan darah, muka sembap dan kulit menjadi kering gara-gara buah pinggang rosak.Sungguh pun begitu, kesakitan atau simptom yang boleh dikenal pasti bergantung kepada lokasi di mana batu karang itu terbentuk sama ada di saluran pundi kencing atau buah pinggang, saiz batu karang, keadaan dan umur pesakit dan jenis batu karang.

1 ulasan:

! Sam Posmen ! berkata...

kalau air kencing pekat warna kuning menandakan ada batu karang ke?