04 Mei 2011

Saingan Showdown 2011 bermula


Wakaka Crew-pemenang Showdown 2010


SEGALA persoalan tentang 12 kumpulan yang terpilih sebagai finalis program realiti tarian popular, Showdown 2011 akhirnya terjawab.Sebagai penyiar rasmi program yang telah mencetuskan fenomena baru dalam industri penyiaran negara itu, 8TV ternyata berdepan dengan kesulitan untuk memilih 12 kumpulan terbaik untuk bertarung dalam musim kedua ini.

Apatah lagi, selepas musim pertama Showdown mendapat pujian tinggi dan menerima kritikan positif, pastinya 8TV mahu memberikan yang terbaik untuk pengikut setia program itu.Ini diakui sendiri oleh Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul yang menyifatkan penyertaan untuk musim kedua kali ini sebagai sesuatu yang di luar jangkaan.
Bukan itu sahaja, Airin juga optimis musim kedua Showdown ini akan terus mencipta kejayaan yang membanggakan berikutan pengikut rancangan itu yang kini melebihi 150,000 orang seperti yang dicatatkan di Facebook.

“Kami di 8TV amat berbangga apabila dapat mengenengahkan dan seterusnya menggilap bakat anak-anak muda dalam tarian jalanan ini di sebuah pentas besar yang tidak pernah dibayangkan oleh sesiapa.“Untuk tahun ini, kami berasa puas hati dengan bakat yang telah menghadiri uji bakat yang sememangnya memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri.“Apa yang menakjubkan apabila penyertaan daripada golongan wanita yang menunjukkan peningkatan positif sekali gus membuktikan bakat mereka tidak boleh dipandang enteng untuk Showdown 2011,” ujar Airin bersungguh.

Beliau menambah Showdown bukan hanya dikenali sebagai jenama program televisyen tetapi ia boleh dianggap sebagai perintis kepada mereka yang mahu menjadi seorang penari hebat.Showdown 2011 juga menyaksikan kembalinya komposer dan rapper terkenal, Jow Flizzow di samping Maple Loo sebagai juri tetap.Sekadar menyingkap sejarah, kumpulan Wakaka Crew telah dipilih sebagai juara sulung Showdown 2010 yang berlangsung di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, tahun lalu.

Untuk musim kedua ini, lebih daripada 100 kumpulan atau kru telah menghadiri uji bakat di tiga buah lokasi berbeza yang diadakan sejak bulan Januari lalu.Daripada jumlah itu, hanya 34 kru sahaja yang dipilih untuk ke peringkat Battle untuk melayakkan mereka ke peringkat Meltdown pula.Selepas bertarung di pentas Battle, sebanyak 23 kumpulan dipilih berdasarkan gerak tari dan teknik tarian yang dipersembahkan di hadapan juri.

Namun, perjalanan 23 kumpulan ini di peringkat Meltdown bukanlah semudah yang disangka apabila mereka perlu melalui beberapa siri ujian yang cukup mencabar.Untuk menjadi penari hebat memang bukan tugas yang mudah dan selepas menjalani ujian dalam peringkat Meltdown, nampaknya empat kumpulan iaitu Fulamak Crew, Da Last Minute Crew, JB Breaker Crew dan Monster Gangz terpaksa mengucapkan selamat tinggal.Nasib juga tidak menyebelahi kumpulan Project Elementz apabila mereka terpaksa menarik diri daripada meneruskan perjuangan memandangkan salah seorang anggota mereka mengalami kecederaan.

Di peringkat Meltdown, sebanyak 17 buah kumpulan telah mempamerkan kehebatan masing-masing dan berjaya mengharungi ujian dan tugasan yang diberikan kepada mereka.Tetapi, Showdown 2011 hanya mempunyai 12 kerusi kosong untuk diisi oleh mereka yang benar-benar layak dan terbaik sahaja.Sebagai salah seorang juri, Joe Flizzow memuji 12 kumpulan ini yang memiliki kualiti persembahan yang cukup membanggakan.

“Bukan itu sahaja, saya dan Maple juga dapat menyaksikan energi luar biasa dalam setiap peserta yang bertanding tahun ini.“Kami cukup teruja melihat persembahan semua kumpulan ini kerana mereka mempersembahkan rutin yang kreatif dan kemas walaupun tidak mempunyai masa yang panjang untuk latihan,” jelas Joe Flizzow penuh bersungguh.
Konsert pertama Showdown 2011 akan berlangsung tepat pukul 9.30 malam ini dari Ruang Terbuka, i-City, Shah Alam, Selangor dan disiarkan menerusi 8TV.

Tiada ulasan: