03 September 2011

Awas Gas Berlebihan Dalam Perut





Di hari raya ini, masalah perut kembung dan tidak selesa menjadi satu masalah kesihatan yang sering dihadapi. Ini kerana banyak hidangan yang tersedia menyebabkan mereka yang tidak dapat mengawal hawa nafsu, menikmati makanan tanpa kawalan. Pinggang seluar terasa mencengkam sehingga ada kalanya kancing terpaksa dibuka supaya perut tidak terus terseksa. Ini antara gejala yang biasa dialami akibat masalah banyak angin dalam saluran sistem pencernaan atau usus.

Biasanya perut lebih lega jika angin dapat dikeluarkan sama ada melalui sendawa atau kentut. Isu angin atau gas ini adalah isu semua orang, jadi tiada apa perlu dimalukan. Di anggarkan tujuh atau lapan daripada 10 orang ada masalah ini dan kebanyakan dihadapi oleh golongan Adam. Secara purata manusia menghasilkan antara 0.5 hingga 2 liter gas dalam sistem pencernaan setiap hari. Gas ini membabitkan beberapa jenis iaitu oksigen, karbon dioksida, nitrogen, hidrogen sulfida, ammonia dan metana.

Sendawa dan kentut adalah dua fungsi badan yang penting untuk mengeluarkan gas ini, namun kebanyakan gas dikeluarkan melalui kentut. Yang membezakan ialah ada orang kentut lebih kerap.Oksigen, karbon dioksida dan nitrogen yang masuk ke dalam sistem pencernaan melalui mulut (ketika menelan) adalah komponen paling besar. Gas ini tidak berbau tetapi bau kentut yang busuk disebabkan kehadiran gas surih seperti hidrogen sulfida yang terhasil apabila makanan di dalam usus mengalami proses pereputan.

Gas yang terkumpul dalam perut dan usus dikeluarkan secara berperingkat sepanjang hari. Biasanya ia tidak menimbulkan masalah tetapi bagi individu yang sensitif, pengumpulan gas ini menyebabkan ketidakselesaan.Kentut antara enam hingga 20 kali sehari adalah normal. Malah ada laporan mengatakan kekerapan kentut sehingga 25 kali sehari juga perkara normal walaupun ia mungkin mendatangkan rasa kurang selesa.Jika gas ini tidak dikeluarkan, ia menyebabkan seseorang mengalami masalah kembung dan tidak selesa. Keadaan ini boleh menjejaskan daya tumpuan, prestasi kerja dan kualiti hidup. Selain itu orang tua, pesakit kencing manis atau pesakit yang mengambil ubat yang boleh memperlahankan aktiviti usus juga kerap mengalami masalah ini.




Punca Masalah Angin




Banyak faktor boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah angin berlebihan, antaranya
• Tekanan - Individu yang tertekan biasanya menelan lebih banyak angin. • Kerap mengunyah gula-gula getah atau mengulum gula-gula yang keras. • Merokok • Makan atau minum terlalu cepat dan makanan ditelan sebelum ia lumat. Apabila kita makan terlalu cepat, kita tidak sedar menelan lebih banyak udara dan menyebabkan masalah sedia ada bertambah buruk. • Gigi palsu tidak dipasang dengan baik juga menyebabkan seseorang itu menelan lebih banyak udara. • Minum minuman berkarbonat. Kandungan karbon dioksida dalam minuman ini menghasilkan lebih banyak gas apabila ia menjadi hangat di dalam perut. Ia juga boleh disebabkan keradangan pada lapisan dalam perut atau gastritis.• Makan makanan yang banyak lemak kerana lemak mengambil masa lebih lama untuk dicerna dan memberi peluang banyak gas terkumpul dalam perut. • Pemecahan makanan yang tidak tercerna - Bukan semua makanan diserap oleh badan. Sesetengah jenis karbohidrat, contohnya gula, kanji dan serat di dalam usus tidak dapat diserap akibat kekurangan atau ketiadaan enzim tertentu. Jadi makanan yang tidak diserap badan berpindah dari usus kecil ke usus besar yang mana bakteria baik memecahkannya dan menghasilkan gas hidrogen, karbon dioksida dan metana pada sesetengah orang. Semua gas ini akhirnya keluar melalui dubur.




Tiada ulasan: