21 November 2011

Pendarahan Tak Semestinya Buasir

Pendarahan yang berlaku ketika seseorang membuang air besar sering difahami sebagai buasir. Namun, dalam sesetengah kes, bukan semua pendarahan ini berpunca daripada buasir. Warna darah yang keluar merupakan satu indikasi terdapat masalah sama ada pada perut, usus kecil atau besar (kolon), rektum, otot-otot dubur dan sebagainya.
Jika darah yang keluar berwarna merah pekat, ia merupakan salah satu gejala yang menandakan anda mungkin menghidap kanser kolorektal.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya pendarahan rektum. Ini termasuklah buasir, luka pada dubur, radang usus, polip dan kanser. Rektum ialah sebahagian organ penghadaman yang terletak pada bahagian hujung usus besar. Ia mempunyai kepanjangan enam inci. Setelah najis melalui proses pemekatan, bahan-bahan buangan akan ditolak keluar dari rektum melalui dubur.

Petanda kanser kolorektal Kebanyakan kanser kolorektal bermula dengan polip iaitu sejenis ketumbuhan yang menyerupai anggur pada permukaan kolon dan rektum. Polip kerap ditemui di kalangan mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Pada peringkat awal ia adalah ketumbuhan yang tidak berbahaya. Bagaimanapun dalam sesetengah keadaan polip yang membesar ini lama-kelamaan menjadi kanser.

Polip boleh menyebabkan seseorang mengalami pendarahan. Darah yang keluar ada kemungkinan berwarna merah pekat atau gelap. Selain itu, pesakit juga mengadu terdapatnya lendir ketika membuang air besar.
Kanser kolorektal ialah sejenis kanser yang berlaku pada kolon atau rektum, iaitu sebahagian daripada sistem penghadaman tubuh. Kolon yang lebih dikenali sebagai usus besar ialah tiub otot yang mempunyai kepanjangan sehingga lima kaki.

Usus besar menyerap air dan zat-zat makanan daripada makanan yang dimakan oleh manusia. Ia juga berfungsi sebagai tempat menyimpan bahan-bahan buangan sementara. Setelah bahan-bahan buangan ini sedia untuk dikumuhkan daripada tubuh, ia akan masuk ke dalam rektum. Sebarang kanser yang berlaku pada mana-mana bahagian ini dikenali sebagai kanser kolorektal. Kanser ini lebih kerap ditemui di kalangan lelaki berbanding wanita.
Penyakit ini lebih kerap ditemui kalangan mereka yang berusia lebih 50 tahun.

Kanser kolorektal merupakan sejenis kanser yang dapat dicegah dan dirawat sekiranya ia dikesan lebih awal. Pencegahannya dapat dilakukan melalui pemeriksaan untuk menentukan ketumbuhan polip. Polip ini boleh dibuang sebelum ia menjadi kanser.

Diagnosis
Doktor akan mengambil kira sejarah masalah pesakit terutama keadaan pendarahan yang berlaku. Pemeriksaan kolonskop dilakukan menggunakan sejenis alat yang menggunakan skop untuk melihat keadaan di dalam usus.
Kolonskop membantu mendapatkan gambaran sebenar kolon seseorang pesakit. Ia juga dapat membantu mengesan kemungkinan kanser pada bahagian atas kolon. Siasatan penyakit yang dihadapi itu juga merangkumi pemeriksaan biopsi dan polipectomy pada polip. Sebagai langkah pencegahan, anda dinasihatkan untuk mengamalkan diet sihat rendah lemak dan tinggi serat. Makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran. Selain itu, lakukan senaman secara tetap dan jangan merokok serta mengambil alkohol.

Faktor Risiko
• Mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser kolorektal
• Gaya hidup dan persekitaran
• Polip
• Mereka yang pernah menghidap radang usus

Gejala
Mereka yang menghidap kanser kolorektal jarang mengadu bahawa mereka mengalami sebarang kesakitan. Namun, ia dapat dikenal pasti melalui beberapa gejala seperti :
• Perubahan pada tabiat membuang air besar
• Cirit-birit
• Sembelit
• Merasakan najis masih ada lagi meskipun selepas membuang air besar
• Terdapat darah dalam najis yang berwarna merah atau gelap
• Rasa tidak selesa pada perut seolah-lah ada angin, kejang atau sebu
• Kurang selera makan
• Berat badan menurun tanpa diketahui sebabnya
• Keletihan yang berpanjangan dan keterlaluan
• Muntah-muntah
• Anemia
• Sukar bernafas

1 ulasan:

Ardini Humaira berkata...

ya Allah...
bahaya betul ni..