31 Mac 2012

Gaya Busana Sesuai Personalitimu

Penampilan yang menarik tidak semestinya bersandarkan kepada gaya solekan semata-mata, sebaliknya ia boleh terserlah melalui gaya pemakaian busana. Malah, busana yang dipilih andai sesuai dikenakan, pasti mengundang mata memandang tak kurang juga mulut yang memuji.

Ia juga akan menambahkan keyakinan dalam diri seseorang. Pun begitu, masih ada sesetengah wanita yang tertanya-tanya bagaimana cara mudah untuk mengaplikasikan gaya mereka sendiri. Apakah hanya bersandarkan kepada minat
selesa, trend semasa atau sebagainya. MW kali ini mendedahkan jenis –jenis gaya yang mungkin sesuai dengan personaliti anda.

Romantis
Romantis adalah wanita yang mempunyai kebiasaan yang sangat feminin. Golongan ini selesa tampil dengan pakaian yang sederhana namun cantik dan feminis selain fokus utama lebih ke arah menonjolkan kecantikannya.

Kebiasaannya, wanita ini gemar dengan busana bermotif, jaket lembut, blaus renda, gaun dan sebagainya. Pilihan warnanya akan cenderung lebih lembut, seperti merah jambu, langit biru, hijau atau kebiru-biruan. Untuk kasut pula, mereka selesa memilih jenis bertumit tinggi berbanding jenis sandal.

Diva
Gaya diva adalah wanita yang ingin tampil menjadi sorotan di hadapan semua orang. Walaupun mungkin tidak memiliki wajah yang menarik, namun mata yang memandang pasti akan tertarik kerana cara wanita tersebut yang bijak mengekspresikan gayanya dan memancarkan keyakinan serta daya tarikan.

Kebiasaannya, busana dengan rona cerah menjadi pilihan selain rekaan yang ceria dengan banyak gemerlapan dan aksesori yang mempesona. Nama pun ingin menonjol justeru pilihan aksesori yang gemerlapan sesuai digayakan.

Aktif
Pencinta alam terbuka adalah wanita yang tampil dengan karakter yang ramah yang sesuai dengan penampilan mereka. Wanita kategori ini sememangnya sangat aktif, riang dan bukan seorang yang malas. Jenis busana yang menjadi pilihan pastinya yang sporty seperti jean atau sandal. Selain itu, mereka juga kurang gemar dengan aksesori
memandangkan wanita ini kurang gemar berdandan. Sebaliknya, mereka lebih selesa dengan gaya sederhana asalkan mudah dan selesa tatkala dikenakan.

Tradisional
Tradisional adalah wanita yang menyukai gaya klasik dan sesuatu yang sangat tradisional, konservatif. Wanita sebegini dapat mengekspresikan gayanya dengan praktis dan fungsional.

Untuk mengenali wanita jenis tradisional mudah sahaja, lihat dari segi pakaian mereka yang bertemakan klasik, gaya yang sangat konservatif dan tidak mempunyai banyak variasi warna. Bagi mereka, itu bukan sesuatu yang penting.

Pintar dan Berwibawa
Wanita dalam kategori ini amat menghargai busana kerana bagi mereka ia adalah lambang status. Wanita sebegini ini akan selalu kelihatan sempurna tanpa ada cacat mulai dari hujung kepala hingga hujung kaki.

Selain itu, mereka juga tidak kisah melaburkan ribuan ringgit hanya untuk pakaian dan rawatan kerana bagi mereka kedua-duanya paling penting dalam gaya hidup mereka. Tidak hairanlah jika dibuka almari pakaian mereka, pasti kelihatan busana dari jenama yang mahal dan rekaan eksklusif dari pereka terkenal memandangkan wanita jenis ini amat mementingkan kualiti untuk bergaya.

Si Penggoda
Wanita ini suka tampil dengan gaya yang seksi dan kelihatan cukup menggoda. Dia memancarkan sensualiti dan tidak memilih busana yang akan dipakai. Mereka lebih gemar baju dengan rekaan bergaris atau bermotif kulit haiwan. Mereka juga selalunya tampik dengan kasut bertumit tinggi malah dilihat seksi.

Cantik Di Hati
• Ukirlah senyuman yang paling manis kerana selain menjadi sedekah, senyuman itu ibarat lukisan rahsia hati dan senyuman itu tidaklah menyakitkan tetapi menjadi penawar hati yang sakit.
• Wanita yang bijaksana mampu mengubah sahara yang gersang menjadi taman yang segar menghijau.

sumber;mingguanwanita

Tiada ulasan: