03 Disember 2011

Jadilah Suami Pujaan Isteri

Setiap wanita bergelar isteri sentiasa berdoa agar dianugerahkan seorang suami yang baik dan mampu menjaga keluarga selama-lamanya. Baik dari sudut agama mahupun hal-hal dunia, suami ini tidak cepat melatah untuk menangani apa sahaja masalah yang timbul.

Selain menyenangkan, suami juga diharap menjadi pembantu yang baik dalam rumah tangga. Pastinya satu bonus yang sangat bermakna apabila isteri benar-benar dipasangkan dengan suami sebegini. Jalinan rumah tangga lebih bahagia dan diberkati oleh-Nya. Tapi selain daripada dua perkara ini, apa lagi ciri yang membolehkan seorang suami itu pujaan isterinya.

Matang membuat keputusan


Tidak dinafikan kebanyakan lelaki masa kini dilihat matang sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Bagaimanapun setelah berkeluarga dan memikul tanggungjawab besar, rata-rata darinya mengeluh dan seakan ingin lari dari masalah yang ditempuh.

Usah begitu. Masalah adalah guru yang paling baik untuk mendapatkan hari depan yang cemerlang. Oleh itu cubalah belajar menjadi individu yang matang agar setiap keputusan yang dibuat tepat dan bermakna. Kebiasaannya, isteri gemar mendapatkan pandangan suami sebelum membuat sesuatu perkara. Biarpun dia mampu lakukannya tetapi kata-kata yang keluar dari mulut suami lebih memberi makna. Untuk itu berusahalah kerana ada kejayaan di sebaliknya.

Bantu uruskan anak-anak


Sering kedengaran dalam perkahwinan, isteri dilayan bagai puteri ketika disahkan berbadan dua. Lebih-lebih lagi ketika mengandungkan anak yang pertama. Apa sahaja yang diidamkan pasti tertunai dengan segera. Tetapi, setelah melahirkan, segala tanggungjawab menjaga dan mengurus anak-anak diletakkan sepenuhnya ke bahu isteri.
Suami yang baik adalah suami yang sentiasa merasa kasih dan simpati kepada isteri. Kerana itu maka kongsilah tanggungjawab bersama. Sekiranya isteri sibuk di dapur maka ringankan tulang untuk memandikan anak atau memantau mereka membuat kerja-kerja sekolah. Bukankah lebih bahagia?

Pakar dalam banyak perkara


Sebutlah apa sahaja, suami dengan segera akan memberikan jawapan biarpun ada kalanya jawapan yang diberikan tidaklah setepat mana. Isteri pastinya kagum dengan ‘kebolehan’ suami tercinta.
Baik politik, ekonomi dan sebagainya, suami boleh dikira arif untuk menghuraikan serba sedikit. Secara tidak langsung, suami akan dijadikan tempat rujukan pertama sebelum beralih ke sumber seterusnya.

Tegas dan berpendirian


Seorang suami akan lebih dihormati sekiranya ada ketegasan dan pegangan dalam hidup. Apabila mendengar sesuatu perkara, suami dengan segera akan mencadangkan sesuatu yang lebih baik berdasarkan dari apa yang di fikiran. Bukan niat membantah tetapi memberi pandangan agar perkara yang ingin dilakukan berjalan lebih lancar dan sempurna. Tidaklah seperti lalang yang hanya akan meliuk lentuk apabila diterbangkan angin.

Ringan tulang


Kalau masa bujang dahulu, boleh dikatakan hampir semua perkara dilakukan sendiri. Dari memasak, membasuh pakaian hinggalah kerja-kerja mengemas rumah, semua ditanggung beres. Tetapi setelah mendirikan rumah tangga, isteri mengambil alihnya. Janganlah begitu.

Ringankan tulang membantu isteri yang kepenatan mengurus itu dan ini. Sekali sekala, bantulah isteri walaupun hanya membasuh pinggan di dapur. Tentu ada yang tersenyum gembira melihatkan perubahan dari suami pujaan hatinya.

Seimbangkan ilmu dunia dan akhirat


Sedarlah bahawa tanggungjawab suami tidak hanya mencari nafkah untuk keluarga bahkan perlu memastikan isteri serta anak-anaknya mendapat tempat yang baik di akhirat kelak. Justeru, kemahiran ilmu agama perlu ada dalam diri setiap suami.
Biarpun ia antara cabaran yang harus dilakukan maka sahutlah dengan berani. Carilah masa untuk mengimamkan solat berjemaah dengan ahli keluarga atau sekali-sekala, bertadaruslah bersama mereka agar rasa hormat dan kasih sayang yang selama ini terjalin bertambah segar dan berkekalan selama-lamanya. Sekiranya tidak mampu maka dapatkan khidmat guru agama untuk mengajar di rumah anda. Belajarlah bersama-sama.

Usia Suami 40-an, Perkahwinan Mungkin Diuji


Sering terjadi kepada lelaki yang memasuki usia 40-an. Saat ini lelaki seakan kembali ke usia muda. Mereka mula mengambil perhatian terhadap penampilan dan berani menjeling-jeling gadis-gadis muda. Bagi yang terlalu mengikut perasaan dan tidak mengawal nafsu, rumah tangga boleh goyah kerananya. Malah ada yang sanggup meninggal isteri dan anak-anak kerana hawa nafsu mereka.

Oleh itu bagi isteri yang punya suami memasuki usia fasa ‘4 siri’ ini seharusnya melakukan persiapan kerana tatkala ini komitmen perkahwinan kembali teruji. Komunikasi dan pemahaman memainkan peranan yang sangat penting bagi pasangan yang mulai memasuki masa akil baligh kedua ini.
Situasi yang berbeza antara suami dan isteri sering kali menyebabkan konflik. Suami semakin bersemangat dalam banyak perkara, sedangkan isteri semakin lesu dan kurang ghairah. Bila ini yang terjadi maka komunikasi yang baik amat perlu di antara pasangan.

Sebarang krisis harus diselesaikan dengan baik. Buat isteri fahami keadaan yang dilalui suami ini, anda juga harus berubah. Lakukanlah sesuatu agar cinta kekal di hatinya. Kepada suami pula jangan terlalu mengikut perasaan anda. Fikirkanlah tentang keluarga yang telah anda bina selama ini.

Tiada ulasan: