Golongan berpendapatan sederhana di kawasan bandar dan pinggir bandar kini berpeluang membeli kediaman mampu milik pada harga di antara RM150,000 dan RM300,000 seunit melalui Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA).Dilancarkan Datuk Seri Najib Razak semalam, PR1MA menawarkan beberapa keistimewaan seperti pengecualian duti setem dan pinjaman sehingga 105 peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 30 tahun.
Perdana Menteri berkata, PR1MA ditujukan khusus kepada warganegara Malaysia berpendapatan sederhana tidak lebih RM6,000 sebulan tanpa mengira mereka bekerja dengan kerajaan, swasta ataupun bekerja sendiri.Menurutnya, program itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kesulitan dihadapi golongan berpendapatan sederhana yang tidak mampu membeli rumah berharga tinggi, tetapi pada masa sama tidak layak dipertimbangkan dalam program perumahan awam kos rendah.
“Seperti saya selalu katakan, tiada kumpulan dipinggirkan dan kerajaan akan memastikan rakyat sentiasa mendapat manfaat daripada dasar dan inisitif yang dilaksanakan,” katanya, sempena majlis pelancaran itu, di Kompleks Kejiranan Presint 11, di sini.
|
Datuk Seri NAJIB (tiga dari kanan) bersama Datuk Raja Nong Chik dan Tan Sri Nor Mohamed (kiri) melihat model perumahan PR1MA Fasa I selepas melancarkannya di Putrajaya. |
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop serta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.Pelaksanaan PR1MA membabitkan kawasan bandar dan pinggir bandar di seluruh negara dengan 20 lokasi di Lembah Klang dikenal pasti bagi fasa pertama yang membabitkan pembi 42,000 unit.
Antaranya di sekitar Putrajaya, Cheras, Subang Jaya, Damansara, Klang, Shah Alam, Sungai Buloh, Rawang, Sungai Besi dan Seremban, membabitkan beberapa pemaju seperti Putrajaya Holdings, SP Setia dan Tradewinds, Cyberview, Sime Darby dan MRCB.
Setiap unit berkeluasan di antara 800 kaki (74.3 meter) hingga 1,400 kaki (130 meter) persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.
Najib berkata, lapan projek daripada 20 tapak strategik yang dikenal pasti itu dijangka dimulakan pada tahun ini dan tahun depan dengan projek di Presint 11, Putrajaya dipilih menjadi tapak pertama skim PR1MA. Menurutnya, projek pertama itu mengandungi 560 unit pangsapuri di kawasan seluas tiga hektar, dengan unit rumah berkeluasan 1,006 kaki (93.5 meter) dan 815 kaki (75.7 meter) persegi, lengkap dengan dewan serbaguna, taska dan tadika, surau serta lot kedai dan perniagaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan