30 Julai 2011

Rumah nostalgia P. Ramlee


RUMAH P. Ramlee ini mengenang jasa dan pengorbanan P. Ramlee dalam dunia seni tempatan.
SIAPA yang tidak mengenali Tan Sri P. Ramlee? Biarpun sudah 38 tahun seniman agung itu pergi meninggalkan kita, namanya masih tetap terpahat di hati dan sanubari setiap masyarakat.
Sehingga kini, karyanya masih hidup dan tidak pernah ditelan zaman. Beberapa filemnya yang terus disiarkan di kaca televisyen seperti Nujum Pak Belalang, Bujang Lapok, Labu Labi masih mampu membuatkan peminat-peminatnya ketawa.
Begitu juga lagu-lagunya seperti Getaran Jiwa, Jangan Tinggal Daku dan Di Manakan Ku Cari Ganti yang masih kedengaran merdu.
P. Ramlee

P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh membina nama sebagai insan seni yang serba boleh. Dialah pelakon, dia juga penyanyi, pelawak, komposer serta pengarah filem.
Bermula dengan filem Chinta dan Laksamana Do Re Mi menutup tirai seninya, kehebatan beliau terus diakui malah mendapat pengiktirafan di pesta-pesta filem antarabangsa.
Tidak hairanlah, berita pemergiannya menghadap Ilahi pada 29 Mei 1973 begitu mengejutkan peminat-peminatnya. Pemergiannya diibaratkan satu kehilangan besar dalam industri hiburan negara dan terus dikenang sehingga kini.
Menghargai jasa
Justeru, tidak hairanlah pelbagai usaha dilakukan untuk mengenang jasa dan sumbangan P. Ramlee kepada warisan seni bangsa dan negara bagi tatapan generasi akan datang.

RUANG dapur yang serba sederhana ini menyuntik rasa rendah diri dan insaf dalam diri pengunjung.


Paling ketara adalah usaha pemuliharaan rumah kelahiran seniman agung itu yang terletak di Jalan P. Ramlee (dulu dikenali sebagai Counter Hall Road), Pulau Pinang.
Rumah itu pada asalnya dibina pada tahun 1926 oleh bapa beliau, Teuku Nyak Puteh Teuku Karim bersama bapa saudaranya, Rejab Hussain. Ia kemudian dibaik pulih oleh bapa saudaranya pada zaman pendudukan Jepun dan sekali lagi pada 1948.
Di rumah itulah P. Ramlee membesar dan mengharungi zaman kanak-kanak serta alam persekolahan sebelum beliau berhijrah ke Singapura dan Kuala Lumpur untuk mengorak langkah lebih jauh dalam bidang seni.
Menyedari nilai sejarah yang ada, Arkib Negara Malaysia telah mengambil alih dan menjadikan rumah itu sebagai muzium yang menjadi salah satu tarikan pengunjung di negeri Pulau Mutiara itu.
Bagi tujuan itu, pihak Arkib telah melakukan kerja baik pulih bermula pada tahun 1991. Bentuk asalnya masih dikekalkan termasuk perincian pelbagai ukiran kayu yang menghiasi setiap sudut rumah itu.
Pada 31 Disember 1991, ia telah dibuka dengan rasminya oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia ketika itu, Datuk Sabbaruddin Chik.
Tradisional
Seperti rumah-rumah tradisional Melayu di Pulau Pinang, Rumah P. Ramlee mempunyai beberapa bahagian utama seperti bilik, ruang tamu, serambi serta dapur.

BASIKAL tua di bawah rumah ini mengimbas semula banyak adegan filem-filem P. Ramlee.


Melangkah ke ruang dalamnya, pengunjung pasti terpesona melihat perjalanan kehidupan yang pernah dilalui legenda perfileman Melayu itu satu ketika dahulu. Pelbagai koleksi peribadi P. Ramlee bermula dari zaman remaja sehinggalah kejayaan yang dicapai dalam bidang seni dipamerkan di ruang tersebut.
Antara yang dipamerkan ialah poster-poster filem, buku muzik, poskad, serta pelbagai dokumen peribadi lain.
Ketika menjengah ke ruang biliknya pula, pengunjung dapat melihat beberapa barangan peninggalan beliau dan keluarganya. Antaranya adalah katil, peti besi menyimpan pakaian dan koleksi pakaian kegemaran.
Ruang dapur juga tidak terkecuali memiliki aura nostalgia. Ia mempamerkan peralatan memasak dan set-set alat hidangan yang pernah digunakan P. Ramlee sekeluarga.
Sementara itu, di bahagian bawah rumah pula pengunjung boleh melihat model basikal kegemaran beliau. Kawasan sekitarnya juga sengaja dihiasi dengan pelbagai landskap asal yang sinonim dengan kehidupan legenda itu satu ketika dahulu.
Ternyata, kunjungan ke Rumah P. Ramlee besar ertinya khususnya kepada peminat-peminat setia seniman agung itu.
Biarpun hari-hari terakhir kehidupan yang dilalui hakikatnya lebih banyak duka berbanding suka, namun P. Ramlee ibarat manusia yang matinya diberi ‘peluang kedua’ dengan kehidupannya dikenang orang sepanjang masa.
Memori P. Ramlee tidak akan mati sampai bila-bila kerana namanya akan tersemat di dalam ingatan masyarakat di negara ini.

Tiada ulasan: