31 Mac 2011
Pengalaman seram hasilkan drama bersiri "Kum Kum"
Selepas mencatat 'rating' penonton tertinggi tahun lalu di Astro Ria, telemovie Kum Kum kini dilebarkan pula ke skrin drama bersiri 13 episod bagi memenuhi permintaan dan kepuasan pelanggan di stesen berbayar itu.Ditangani Micheal Ang selaku tuan pengarah, Kum Kum The Series kali ini mengalami sedikit rombakan selain membawa penonton mengimbau semula kisah hidup Kum Kum yang tidak pernah didedahkan menerusi telefilem sebelum ini.
Cerita asal hantu kum-kum dikatakan bermula dengan seorang wanita yang mengamalkan ilmu mencantikkan wajah. Namun salah satu pantangnya adalah dia tidak boleh melihat cermin selama 10 hari dan ada sesetengah cerita menyatakan sebulan.Sejak hari itu semua orang memuji-muji kejelitaan wanita itu dan menyebabkan dia tidak sabar dan melihat wajahnya di cermin pada hari terakhir. Akibatnya mukanya menjadi buruk, dan selepas dia menemui kembali gurunya, dia diberitahu bahawa mukanya hanya akan kembali cantik apabila dia menyapu mukanya dengan darah perawan. Disebabkan itu wanita itu merayau-rayau mengetuk pintu rumah bagi mencari mangsa sambil menyatakan Kum-Kum dengan mengenakan jilbab.
Bagaimanapun, Micheal menanganinya dengan sedikit kelainan apabila menggambarkan Kum Kum sebagai Mawar (Marsha AF 3)
seorang gadis yang kurang keyakinan diri dan sangat percaya akan dunia ilmu hitam. Mawar sangat benci terhadap seorang gadis yang cantik dan agresif bernama Shikin (Elfira Loy)
kerana mereka berdua berusaha untuk merebut cinta seorang jejaka kampung yang tampan, sopan-santun dan berbudi bahasa bernama Yusof (Sharnaaz Ahmad).
Pada satu hari, Mawar pergi berjumpa Mak Hitam (Didie Alias), seorang ahli sihir yang jahat untuk menjadikan dirinya lebih cantik dan menawan. Oleh kerana Mawar melanggar larangan bomoh, Mawar menjadi buruk dan dahagakan darah. Untuk memulihkan dirinya, Mawar terpaksa meminum 21 darah perawan.
Bercerita mengenai pengalaman menjalani penggambaran berlokasikan Hulu Langat dan Kuang, Selangor, Michael Ang mengakui terpaksa berhadapan dengan beberapa peristiwa pelik.
"Lokasi penggambaran sememangnya menyeramkan iaitu di sebuah rumah yang dimiliki oleh kerabat diraja. Ketika sedang merakamkan aksi Marsha saya sendiri ternampak satu lembaga dalam skrin dan apabila memandang ke arah pokok itu makhluk itu sedang berada di atas sebatang pokok.
"Kru produksi juga diganggu apabila barang-barang yang sudah dikemaskan dalam beg ditemui berselerak walhal semua barangan yang dikemaskan sudah pun di bawa masuk dalam kereta. "Lain pula ceritanya dengan seorang lagi kru yang nampak kelibat seperti Marsha walaupun dia sudah pulang ketika itu," katanya.
Manakala Marsha pula mengalami pengalaman berbeza dan mengakui tidur malamnya tidak lena kerana terhidu bau bunga Harum Sundal Malam.
"Saya memang penakut, banyak hari juga saya tidak dapat tidur dan paling menyeramkan ada satu malam di dalam rumah saya ada bau harum seperti bunga Harum Sundal Malam," katanya.
Didie yang melakonkan watak bomoh pula berkata, ketika sedang menjayakan adegan jampi dia dapat merasakan sesuatu yang aneh.
"Adegan membaca jampi di hadapan mayat (patung) memang cukup menakutkan. Sedang saya menghayati dan menyebut beberapa mantera tiba-tiba angin kencang bertiup dan tengkuk saya berasa remang," katanya.
Kum Kum The Series yang akan mula ke udara pada 12 April ini, setiap Selasa pada jam 9.30 malam menerusi Astro Ria (Saluran 104).
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan