04 Mac 2011

13,000 GSTT terus tugas

di petik dari berita harian 4/3/2011

Keputusan dibuat selepas ambil kira rayuan: Muhyiddin

   Kerajaan mengumumkan menarik balik surat pemberhentian perkhidmatan kira-kira 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang diberikan tahun lalu. Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rungutan dan rayuan serta kewajaran dalam mencari penyelesaian terbaik terhadap isu mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

   Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Pelajaran dan surat pemberitahuan akan dikeluarkan kepada semua GSTT terbabit dalam tempoh terdekat.

“Keputusan ini akan memberi peluang kepada mereka meneruskan perkhidmatan, sama ada mahu menjadi GSTT selama dua, tiga atau lima tahun.

“Arahan penarikan balik itu dikeluarkan kira-kira dua bulan lalu, cuma pelaksanaannya mengambil masa sedikit kerana ia turut membabitkan logistik dan penempatan semula.

“Bagaimanapun, saya meminta jika mereka dihantar ke tempat lain dan bukan di sekolah asal, mereka sanggup berkhidmat kerana mungkin di sekolah asal sudah diisi guru terlatih.

“Kementerian akan menempatkan mereka bagi mengisi kekosongan di sekolah yang menghadapi kekurangan guru,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Juara Rakyat Parlimen Kinabatangan di Dewan Kampung Simpang Entilibon di sini, semalam.

   Muhyiddin turut meminta Ketua Pengarah Pelajaran meneliti keperluan guru sementara yang masih diperlukan di sesetengah kawasan sebelum khidmat mereka dihentikan. Katanya, walaupun guru terlatih yang baru keluar dari Institut Pendidikan Guru (IPG), guru sementara perlu dibela kerana mereka boleh ditempatkan di kawasan yang memerlukan khidmat mereka.

“Kita juga akan cuba memberi peluang kepada GSTT untuk mengikuti kursus lanjutan atau kursus dalam cuti supaya mereka boleh meningkatkan keupayaan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut meminta semua pegawai pelajaran daerah membuat semakan dengan pegawai pelajaran negeri dan ibu pejabat sebelum mengambil guru sementara baru kerana boleh menggunakan khidmat GSTT sedia ada.

Tiada ulasan: