30 Julai 2011

Annahita kini isteri Setiausaha Sulit Kanan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani


Berita perkahwinan bekas Dewi Remaja 2002/2003, Annahita Bakavoli, 28 tahun, nyata mengejutkan ramai. Tanpa sebarang gosip atau cerita-cerita cinta, model serta pelakon jelita ini mengambil keputusan menamatkan zaman bujangnya bersama Datuk Saiful Baha Datuk Mohd Arshad, 44 tahun, pada 11 Julai lalu.

Majlis akad nikah itu berlangsung selepas solat Asar di Masjid Sultan Salahuddin Shah Alam. Dalam majlis tersebut Annahita menerima mas kahwin RM 2 ribu dan wang hantaran RM21.212.21.Dia yang sah bergelar isteri kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani melahirkan rasa bersyukur dan tetap meneruskan karier seni setelah mendapat keizinan daripada suaminya.

“Saya masih seperti dahulu biarpun kini menggalas status isteri kepada. Banyak perkara yang perlu saya pelajari tetapi hakikatnya kehidupan masih seperti dahulu. Lagipun suami sudah beri lampu hijau untuk saya teruskan kerjaya seni.

“Malah sekarang rasanya lebih lengkap kerana adanya suami yang sangat memahami. Dia banyak beri sokongan dan nasihat dalam setiap kerja yang dilakukan. Syukur Alhamdulillah kerana Allah temukan kami kerana selain suami, dialah juga sahabat sejati yang sentiasa di sisi dalam apa jua situasi,” terang Annahita yang kini bergelar Datin.


Konsep perkahwinan dalam taman yang dibawa khas ke dalam dewan nyata memberi satu kelainan. Bunga-bungaan segar serta kerlipan bola kristal nyata begitu indah sekali. Sememang nya inilah impian majlis perkahwinan Anna dan dengan rasa penuh kasih, ia direalisasi oleh suami tercinta.

“Majlis yang berlangsung malam ini meninggalkan kenangan indah dalam hidup kami berdua. Mana tidaknya, sebelum tiba ke sini kami terpaksa. Buat ‘last minute shopping’ di The Curve sebab tertinggal rantai leher. Nasib baik hotel tempat kami bersiap tidak jauh dari situ. Kelakarnya, kami pergi cari rantai tu dengan berpakaian pengantin, macam filem ‘ Runaway Bride’.

Tak sempat nak pilih sangat, saya terus ambil apa yang ada sebab dah lambat. Suami yang berdiri di sebelah senyum sahaja sebab lihat keadaan saya yang kelam kabut,” jelasnya sambil tergelak.


Terbang ke Singapura untuk makan tengah hari
Sekalipun penat namun kedua mempelai kelihatan ceria dan ramah melayan tetamu. Sikap Datuk Saiful yang gemar berjenaka nyata menyeri suasana. Bukan setakat isteri malah hadirin yang menyaksikan turut gembira melihat telatahnya.


Mencungkil cerita detik perkenalan merpati dua sejoli ini, ujar Datuk Saiful mereka mula mengenali antara satu sama lain sejak bulan Januari yang lalu. Dari situ, bibit cinta mulai hadir dan kemudiannya berakhir di jinjang pelamin.

“Waktu itu kami hanya kawan biasa. Bila hubungan Makin rapat baru saya sedar dalam hati ada cinta. Melihat Anna, saya rasa ada keistimewaan dalam dirinya. Walaupun mempunyai pakej yang lengkap dari segi kecantikan, pelajaran dan budi bahasa namun dia tetap merendah diri dan hormat pada semua orang. Itu yang membuat saya tertarik untuk memperisterikan dirinya,” terangnya sambil memandang manja ke wajah isteri tercinta.

“Saya pun begitu juga. Bagi saya dia adalah seorang yang romantik, bijak, penyayang, kelakar dan bertanggungjawab. Bilamana ada masalah atau keliru untuk melakukan sesuatu, dialah tempat saya merujuk selain ibu dan ayah,” balas Anna yang sempat menceritakan peristiwa romantic yang dilakukan oleh suaminya beberapa bulan lepas.

“Dia membawa saya ke Singapura gara-gara saya mengajaknya makan piza. Dia kata kalau nak makan pizza kena pergi ke Itali, jadi saya pun senyum sahajalah. Tak sangka keesokan harinya dia terus tempah tiket penerbangan ke Singapura dan bawa saya makan tengah hari di sebuah restoran.

“Lepas itu, saya dibawa berjalan-jalan sekitar Singapura dan ambil penerbangan malam itu juga ke Malaysia jam 12 malam. Bila diingat balik rasanya saat itu cukup romantik sekali gus membuatkan saya terharu dengan sikapnya,” kata Anna dengan suara yang terketar-ketar.


United Kingdom lokasi bulan madu

Pasangan yang berbulan madu ke United Kingdom ini dengan wajah yang gembira menyatakan bahawa mereka sudah bersedia untuk menimang cahaya mata, lebih-lebih lagi Anna. Ujarnya, sekiranya Allah memberi rezeki awal maka dia berbesar hati menerima kehadiran ‘orang baru’ dalam hidupnya.


“Saya tak ada masalah untuk bergelar ibu dalam masa terdekat memandangkan umur pun dah 28 tahun, jadi nak tunggu apa lagi. Suami pun tak kisah malah dia pun sukakan kanak-kanak.

Tentang pilihan lokasi berbulan madu pula, dialah yang beri cadangan. “Lagipun suatu masa dahulu saya pernah cerita kepadanya bahawa ibu dan ayah pernah berkenalan di United Kingdom jadi mungkin sebab itu dia teruja untuk bawa saya makan angin ke negara berkenaan, lagipun tempatnya cantik dan sesuai sangat untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga,” ujarnya panjang lebar.

Bicara Anna terhenti saat diminta menyuarakan harapannya tentang perkahwinan yang baru dibina. Jelasnya, apa yang diimpikan agar mahligai perkahwinan bersama suami kekal bahagia hingga ke akhir hayat sekali gus dianugerahkan zuriat yang soleh dan solehah.



2 ulasan:

Azza Azman berkata...

la yeke...tetiba je kan. Annahita ni cantik sgt. Masa lisa surihani keluar dulu saya ingat lisa ni adik annahita ni...

fazRina berkata...

mmg cantik annahta ni kan...