19 April 2011

Tarikan Burger Kukus

             


   KEMAS beruniform seperti chef, dua orang lelaki di gerai Burger Junction begitu tekun menyediakan pesanan pelanggan yang berkunjung ke gerai mereka.Seawal pukul 7 malam, gerai kecil yang terletak di Jalan Pandan Aman, Pandan Indah, Ampang itu dibuka bagi menyambut kehadiran pelanggan yang kebanyakan daripadanya merupakan pelanggan tetap bisnes mereka.
   Sekali pandang, mungkin orang ramai beranggapan bahawa ia sekadar menyajikan burger biasa. Namun, sebenarnya terdapat keunikan di sebalik bisnes yang baru memulakan operasi Februari lalu itu.Menggunakan teknik kukus dan gril untuk memasak burger, pengusahanya Nor Afif Rahimi, 24, ramah bercerita mengenai idea tersebut yang telah wujud sejak dia berumur 18 tahun.“Jika kita lihat burger biasa yang digoreng, dagingnya akan ditekan-tekan di atas kuali leper hingga menyebabkan jus dalam daging menjadi kering. Teksturnya juga menjadi liat.“Namun dengan teknik mengukus dan gril, daging burger menjadi lembut lantas membuatkannya mudah dipotong dan dikunyah. Jus berperisa dalam daging juga dapat dikekalkan,” jelas Afif.
   Pada masa yang sama, menurutnya, teknik tersebut turut menyingkirkan kandungan lemak dalam daging iaitu lemak tersebut akan terkumpul di bahagian bawah pengukus.Graduan Sains Pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memberitahu, sekurang-kurangnya 10 minit diperlukan bagi mengukus burger tetapi tiada masa maksimum diperlukan kerana daging kukus tidak akan terlebih masak.
Burger yang telah dikukus itu akan digril pula di atas bara arang. Lebih menarik, tempurung kelapa juga menjadi bahan bakar bersama-sama arang tersebut dan ia dikatakan mampu menaikkan aroma daging burger.Afif menolak penggunaan kuali leper yang sering digunakan di gerai-gerai burger lain kerana baginya, burger yang digril dengan tempurung lebih sedap rasanya malah cara tersebut lebih klasik.
GERAI Burger Junction di Pandan Indah ini tidak putus-putus dikunjungi pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
     Tergolong sebagai usahawan muda membuatkan Afif tidak terkecuali dalam merangka masa depan perniagaan burger kukus dan gril miliknya.Bakal membuka gerai ketiga di Taman Samudera, Gombak menjelang Mei ini, Afif turut menyasarkan untuk menambah beberapa lagi gerai di sekitar Lembah Klang.
   Baginya, perniagaan perlu dijalankan secara berperingkat dan tidak gelojoh mengejar keuntungan.Afif bagaimanapun menyimpan hasrat. Impian memiliki kios bergerak dijadikan sasaran tertinggi dalam perancangannya memandangkan tidak banyak peniaga burger menggunakan cara tersebut.

1 ulasan:

iMBobo berkata...

pernah dengar sebelum ni tapi tak pernah rasa..nak kena try nih!