20 April 2011

Teknik Bersolek Paling Mudah

   Setiap wanita mahu penampilan yang cantik dan menarik dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Tidak kurang juga ada yang sanggup berhabis duit untuk kelihatan cantik demi mencapai kepuasan diri dan menarik di pandangan mata pasangan.

  Wanita ada kalanya amat gemar membeli alat kosmetik untuk menonjolkan kecantikan dan menutup masalah kekurangan pada wajah. Ini kerana wanita dan alat solek sukar dipisahkan dan ia diibaratkan teman setia wanita setiap masa. Namun, ada wanita tidak betah untuk tampil di khalayak ramai tanpa mengenakan sebarang solekan.

   Bersolek bermaksud mendandan diri dengan kemas, agar kelihatan ceria dan tampil menawan. Ada yang menggunakan alat mekap yang ringkas, malah ada juga yang menggunakan pelbagai warna dan jenama mahal yang sesuai dengan kulit dan tona warna wajah. Apabila menyebut tentang bersolek, secara asasnya ia merangkumi pelbagai kaedah seperti sapuan bedak asas, pemerah pipi, maskara atau gincu. 

   Bersolek bukan sekadar menempek alat mekap pada wajah tetapi harus kena dengan cara pemilihan warna yang betul. Cara solekan yang dikenakan dengan betul boleh mengubah wajah menjadi lebih cantik dan secara tidak langsung anda juga yakin dengan penampilan diri. Pastikan tip di bawah dijadikan panduan untuk mendapatkan solekan yang cantik semula jadi dan paling utama dalam tempoh 10 minit sahaja sudah memadai untuk bersiap. Bagaimana caranya? Ikuti tip solekan dengan menggunakan rangkaian produk dari Sendayu Tinggi.

Penyamar Noda
Dengan beberapa saat sahaja, masalah pada wajah boleh diatasi dengan cepat. Lingkaran gelap atau parut jerawat boleh dilindungi dengan hanya memakai penyamar noda (Concealer SPF 15). Gunakan penyamar noda ini sedikit sahaja supaya tidak kelihatan tebal atau bercapuk. Cara paling baik untuk mengaplikasikan penyamar noda adalah selepas menyapukan bedak asas dan ratakannya dengan hujung jari cara teknik pedap lembut bukan dengan cara menggosok.

Bedak Asas
Pilih bedak asas yang warnanya sepadan dengan warna kulit. Bedak asas jenis krim atau cecair amat mudah dan cepat disapukan dan paling popular untuk digunakan. Sapuan sempurna seluruh kulit selain membolehkan pori bebas bernafas. Pilih bedak asas yang mudah meresap pada kulit wajah bagi menampakkan kesan semula jadi. Gunakan berus untuk aplikasikan pada wajah kerana ia menghasilkan solekan yang sekata. Sapukan juga sedikit bahagian leher dengan bedak padat 2 Way Cake supaya solekan di wajah dan di leher tidak berbelak-belak.

Kuasa Mata Berkabut
Sapuan pembayang mata bukan sahaja memberikan kelainan pada wajah malah boleh membuatkan wanita kelihatan lebih glamor dengan hanya menukar warna pembayang mata sahaja. Warna pembayang mata kini tidak lagi tertumpu pada warna natural atau pastel seperti coklat muda atau merah jambu tetapi wanita kini lebih berani untuk tampil kelainan warna-warna gelap seperti hitam, biru tua dan sebagainya. Dengan membuat sedikit aplikasi rona-rona pembayang mata dari Eyeshadow Duo Color di bahagian kelopak mata pasti menonjolkan lagi solekan.

Mata galak
Penggunaan penggaris mata atau celak mata memberi kesan yang lebih dramatik pada mata. Ia menampakkan pangkal bulu mata lebih tebal tanpa sapuan maskara yang tebal. Pensel jenis berkrim paling sesuai untuk di aplikasi kerana ia lebih mudah dan cepat terutama sekali bagi mereka yang baru belajar untuk menggunakan penggaris mata. Celak berwarna putih membantu menjadikan mata lebih segar dan galak.

Serikan Jelapang Pipi
Langkah paling mudah dalam bersolek, pilih pemerah pipi daripada tona semula jadi atau lembut. Kegunaan pemerah pipi membentuk wajah dan mengembalikan seri wajah yang lebih bercahaya. Untuk memilih warna yang sesuai kulit wajah anda, cuba lihat selepas melakukan aktiviti senaman atau cubit sedikit pipi dan warna merah pada pipi itulah warna yang paling sesuai

Sentuhan Terakhir Bibir
Gincu menjadi alat solek paling wajib dan sebagai ‘penyelamat’ juga membantu seimbangkan solekan pada wajah. Pemilihan warna gincu perlu sesuai dengan bentuk bibir dan warna kulit ia juga dapat mengelakkan bibir terasa kering. Sebelum menyapu gincu, usah lupa untuk lembapkan bibir dengan pelembap bibir (lip balm) kemudian baru oles gincu bibir dari warna-warna yang natural mengikut kesesuaian majlis.





2 ulasan:

NUR AYNIE berkata...

berguna..hihi...aynie salah satu pencinta make up

fazRina berkata...

ape lg....apply jgj x apply...